Belon pengintip China berlegar di ruang udara AS


  • Benua
  • Jumaat, 03 Feb 2023

Beberapa pemimpin AS dijadual melakukan lawatan ke China dalam beberapa minggu akan datang. — Gambar hiasan/Agensi

AMERIKA Syarikat (AS) mengesan belon pengintip China yang didakwa berlegar-legar di atas ruang udara negara itu pada Khamis.

Jabatan Pertahanan AS, Pentagon berkata, belon itu juga dikesan di sempadan Kanada awal minggu ini sebelum memasuki ruang udara AS di negeri Montana.

"Kerajaan AS sudah mengesan dan menjejaki belon pengawasan altitud tinggi yang berada di benua AS sekarang," kata jurucakap Pentagon, Brigadier Jeneral Pat Ryder dalam satu kenyataan.

Terdapat kebimbangan mengenai pengawasan dan pengumpulan maklumat risikan menerusi belon terbabit, manakala pihak berkuasa sedang berusaha untuk melindungi keselamatan negara AS.

Ryder menambah, penampakan belon sama juga dikesan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Media antarabangsa pada mulanya melaporkan, para pemimpin mahu menembak jatuh belon tersebut.

Tidak lama kemudian, pihak tentera memutuskan untuk tidak berbuat demikian kerana khuathir akan menyebabkan serpihan.

"Namun, AS terus menjejaki dan memantaunya dengan teliti.

"Belon itu kini bergerak pada ketingggian jauh di atas trafik udara komersial dan tidak memberi ancaman ketenteraan atau fizikal kepada orang ramai di darat," jelas Ryder.

Penampakan belon itu berlaku di tengah-tengah ketegangan AS-China berhubung peningkatan ketenteraan di Asia, selain persaingan sektor ekonomi dan teknologi yang semakin sengit.

Pada masa sama, Washington dan Beijing sudah bersedia dengan perbincangan ekonomi, manakala beberapa anggota pentadbiran Presiden Joe Biden sedang bersiap sedia melakukan lawatan ke China dalam beberapa minggu akan datang.

The Financial Times pada Khamis melaporkan bahawa, Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken akan melakukan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping menerusi lawatannya.

Jika perkara itu berlaku, Blinken akan muncul sebagai diplomat tertinggi AS pertama bertemu Xi di China selepas tempoh kira-kira enam tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram