
SEORANG lelaki di Toa Payoh, Singapura, mendedahkan sikap pengotor seorang jirannya yang gemar membaling sisa buangan dari cermin tingkap rumah pada setiap pagi, lapor Coconuts pada Selasa.
Lelaki dikenali sebagai Valiant Khong itu menerusi kumpulan perbincangan di laman Facebook, Complaint Singapore, berkongsi klip video memaparkan sikap jelik penduduk di kejiranan tersebut.
Dalam video itu, seorang jiran dilihat menuang satu cawan cecair berwarna kekuningan yang dipercayai air kencing keluar dari tingkap sebuah unit blok kediaman tiga tingkat.
Valiant berkata, individu tersebut melakukan perbuatan itu setiap pagi di antara pukul 5 hingga 6 pagi (waktu tempatan).
Antara bahan buangan yang sering dilontar dari tingkap termasuk puntung rokok, tuala wanita, tisu dan sisa makanan.
Tambah Valiant, beberapa aduan dikemukakan kepada Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEW) namun, tiada sebarang tindakan dilakukan sejak beberapa bulan lalu.
Menurutnya, pihak berkuasa hanya mengeluarkan surat amaran tetapi enggan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
“Saya menggesa pihak berkuasa supaya melakukan sesuatu.
“Terdapat kanak-kanak di kawasan kejiranan ini. Ia amat tidak bersih dan tidak sihat kebelakangan ini.
“Singapura merupakan sebuah negara maju di mata dunia. Disebabkan itu kita perlu menghentikan pelaku daripada melakukan kesalahan yang sama,” ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram