BARU-BARU ini, kecoh di media sosial satu posting beberapa individu membela ular memohon kepada orang ramai agar diberikan anak kucing untuk dijadikan santapan haiwan belaan mereka itu.
Malahan ada dakwaan menyatakan individu-individu ini sanggup menyamar sebagai pencinta kucing untuk mengambil binatang berbulu itu dengan kuantiti yang banyak.
Ternyata modus operandi individu-individu seperti ini mengundang rasa marah orang ramai lagi-lagi pencinta kucing.
Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, perkara seperti ini bukan sahaja baru terjadi seperti mana yang tular di media sosial.
"Perkara macam ini bukan baru saja terjadi, memang ada golongan yang ambil kucing secara percuma dan bagi haiwan belaan (ular) mereka makan.
"Saya nasihatkan bagi sesiapa yang nak bagi kucing di media sosial mestilah periksa latar belakang tuan baharu mereka itu.
"Kerana jika anda suruh mereka isi borang dan kenakan bayaran kepada individu terbabit tetapi dia tidak mahu buat mesti ada something wrong," katanya pada Majoriti.
Menurut Khalid, jika seseorang individu itu memberikan kucing sebagai makanan ular ia merupakan satu bentuk penderaan dan boleh laporkan kepada pihak bertanggungjawab.
"Kalau kejadian seperti ini berlaku pihak kami akan mengambil tindakan dengan membuat laporan secara atas talian kepada Jabatan Veterinar.
"Jika kita mengsyaki apa-apa sebarang bentuk penderaan kepada kucing seperti mana yang berlaku sekarang ini kita boleh buat laporan kepada Jabatan Veterinar," jelasnya.
Tambahnya lagi, dia berpesan kepada individu-individu yang membela ular seharusnya memberikan makanan lebih baik seperti ayam yang mudah didapati di pasar raya agar tidak menyeksa haiwan seperti kucing.
"Harapan saya orang yang memberi kucing itu agar sentiasa berada dalam keadaan bertanggungjawab semasa hendak melepaskannya kepada tuan baharu.
"Untuk pembela haiwan eksotik sebelum anda nak bela ular ataupun binatang lain mestilah ukur baju di badan sendiri kerana kita tahu makanan haiwan seperti ini limited.
"Jika ingin bela juga banyak makanan seperti ayam yang boleh kita dapati dekat pasar raya,"ujarnya.
Persatuan Haiwan Malaysia. — Facebook
Dalam pada itu, Persatuan Haiwan Malaysia di laman rasmi Facebook berkata, ia menjadi satu kesalahan jika pemilik ular melanggar prinsip kebajikan haiwan.
"Jika pemilik ular ingkar mematuhi ketetapan peraturan kebajikan haiwan menyebabkan pemilik haiwan liar ini boleh didakwa atas pelanggaran mengenai prinsip menjaga kebajikan dan melindungi haiwan peliharaan (haiwan domestik) hingga mengancam nyawa haiwan peliharaan (haiwan domestik) dalam jagaan.
"Pemilik telah melakukan kesalahan iaitu dengan sengaja mengundang rasa terancam terhadap haiwan peliharaan kerana secara paksa mengundang bahaya terhadap haiwan peliharaan dan bukan secara semula jadi," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram