KERAJAAN Turkiye mengisytiharkan tempoh berkabung selama tujuh hari, susulan bencana gempa bumi yang menyaksikan kemusnahan besar harta benda serta mengorbankan ribuan nyawa penduduk.
Presidennya, Reccep Tayyip Erdogan berkata, tempoh berkabung itu bermula pada Isnin sehingga Ahad ini.
"Bendera kami akan dikibarkan separuh tiang sehingga matahari terbenam pada Ahad, 12 Februari 2023, di semua perwakilan negara kami dan negara asing," kata Erdogan.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan di bangunan yang runtuh di Kahramanmaras. — Agensi
Media antarabangsa melaporkan, angka kematian akibat gempa bumi yang melanda selatan Turkiye dan negara jiran, Syria sudah mencecah 5,000 orang, manakala angka korban dijangkat meningkat.
Naib Presiden Turkiye melaporkan bahawa seramai 3,419 orang maut manakalan 20,000 lagi cedera.
Sementara itu, kerajaan Syria berkata, 812 orang maut manakala seramai 1,449 cedera di kawasan dikuasai kerajaan.
Pada masa sama, manakala pertahanan awam Syria berkata, lebih 790 orang terbunuh dan 2,200 lagi cedera di kawasan dikuasai pembangkang di Barat Laut negara itu.
Ini sekali gus menyaksikan jumlah mangsa terkorban di kedua-dua negara mencecah 5,021 orang setakat ini.
Orang ramai membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan, selepas gempa bumi pada Isnin. — Agensi
Lebih ramai turun padang
Operasi mencari dan menyelamat mangsa di timbunan bangunan yang runtuh giat dijalankan di Gaziantep. — Agensi/Getty Images
Ketika ini, anggota penyelamat sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat di bangunan yang runtuh bagi mencari mangsa.
Erdogan berkata, kira-kira 16,400 anggota pasukan mencari dan menyelamat sudah segera dikerah ke kawasan terjejas.
Selain itu, semua anggota Kabinet turut ditugaskan untuk turun padang ke kawasan yang dilanda gempa bumi.
Mulai Selasa, seramai 30 Gabenor dan 47 Gabenor Daerah dikerahkan ke zon bencana di bawah penyelarasan menteri berkaitan.
Pengarah Komunikasi Pejabat Presiden Turkiye dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa, kapasiti semua pengendali Global System for Mobile (GSM) sudah dipertingkatkan supaya tidak memberi kesan negatif kepada penduduk rantau ini, manakala perkhidmatan internet akan dipulihkan dengan membuka semula talian tertutup.
Pada Isnin, Menteri Pendidikan Turkiye, Mahmut Ozer berkata, institusi pendidikan ditutup selama dua minggu di wilayah Kahramanmaraş, Hatay, Adıyaman, dan Malatya, manakala di seluruh Turkiye selama seminggu.
Presiden Majlis Pengajian Tinggi, Profesor Erol Ozvar mengumumkan bahawa, pengajian semester digantung di institusi pengajian tinggi di seluruh sepuluh wilayah terjejas akibat gempa bumi.
Sehingga tarikh yang akan diumumkan, semester pengajian tinggi ditangguhkan di Antalya, Bingöl, Elazığ, Wilayah Erzincan, Karaman, Kayseri, Konya, Mardin, Mersin, Niğde, Sivas dan Tunceli.
Ini bagi memastikan kemudahan asrama dan kampus disediakan untuk mangsa bencana apabila diperlukan.
Pada masa sama, Kementerian Pertahanan berkata, batalion penyelamat bencana angkatan tentera Turkiye sudah dihantar ke Hatay, Malatya, Osmaniye, dan Kahramanmaraş, manakala pasukan komando dikerahkan ke zon gempa.
Seramai 3,500 anggota tentera Turkiye mengambil bahagian dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut.
Malah, sebanyak 17 pesawat dikerahkan bagi memberi bantuan berterusan ke Gaziantep dan Adana.
Gempa bumi paling teruk selepas 84 tahun
Gempa bumi kali ini disifatkan paling teruk berlaku di Turkiye sejak 84 tahun, selepas Gempa Erzincan dengan magnitud 7.9 pada tahun 1939.
Pada Isnin, gempa bumi kali pertama dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter itu berlaku pada pukul 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik.
Gegaran turut dirasai di wilayah lain, termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lebanon dan Syria.
Namun, belum sampai tempoh 12 jam, gempa bumi kedua berukuran 7.5 magnitud melanda Turkiye di bahagian wilayah Elbistan, Kahramanmaras pada pukul 1.32 petang (waktu tempatan).
AFAD berkata, sebanyak 6,217 bangunan dilapor runtuh selain lebih daripada 100 gegaran susulan dirasai di negara tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram