PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selamat tiba di Turkiye bagi mengharungi perlawanan persahabatan aksi pramusim membabitkan pasukan dari Kazakhstan, Uzbekistan dan Ukraine.
Di sebalik kerisauan penyokong berhubung status para pemain dan barisan kejurulatihan berikutan kejadian gempa bumi di sana, pengurusan KDA FC memberi jaminan bahawa aksi jelajah pramusim tersebut tidak akan terjejas.
Ketua jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain berkata, kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye jauh dari tempat latihan berlangsung.
"Untuk perlawanan di sini (Turkiye), saya rasa semua berjalan dengan lancar Insya-ALLAH sebab situasi keadaan gempa bumi jauh dari tempat menjalani latihan.
"Insya-ALLAH dapat menjalani jelajah pramusim seperti yang dirancang," katanya menerusi rakaman video yang dikongsi di Facebook Arena HijauKuning.
Program jelajah pramusim KDA FC di Turkiye diharap dapat merapatkan dan mengeratkan hubungan antara pemain. — Facebook
Nafuzi berkata, keadaan di Antayla selamat dan pihak pengurusan memberi layanan yang baik dan menjaga kebajikan pemain dengan elok setakat ini.
"Saya harap urusan kita di sini dipermudahkan dan selamat dari semua faktor serta apa yang dirancang insya-ALLAH tercapai," ujarnya.
Berhubung mood player, Nafuzi berkata, dia berharap program jelajah pramusim itu dapat merapatkan dan mengeratkan hubungan antara pemain.
"Kita nampak pemain teruja walaupun perjalanan agak jauh dan memakan masa hampir 24 jam. Mereka semua kelihatan gembira dan ceria.
"Saya nampak ini bagus untuk bonding, duk ramai-ramai berkumpul di sini semua beri peluang mereka jadi lebih rapat," katanya.
Terdahulu, pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, program jelajah pramusim di Antayla itu adalah satu bentuk ujian karakter, mindset, visi dan kemahiran buat Sang Kenari.
Kedah akan memulakan aksi Jelajah Turkiye musim ini dengan menentang kelab FC Nasaf dari Uzbekistan di Ekodizayn 1 pada Khamis ini, diikuti kelab dari Kazakhstan iaitu FC Shakhter Karagandy di Limak Sports Center (10 Februari).
Sementara dua lagi aksi, membabitkan kelab FK Maktaaral dari Kazakhstan di Limak Sports Center dan kelab dari Ukraine iaitu FC Metalist Kharkiv di Ekodizayn 1 masing-masing pada 12 dan 14 Februari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram