Aksi pramusim di zon lain, bukan kawasan gempa bumi — CEO KDA FC


  • Podium
  • Isnin, 06 Feb 2023

Nafuzi Zain dan pasukan Kedah FC terbang ke Turkiye bagi menghadapi aksi jelajah pramusim 2023. — Facebook

KEJADIAN gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda selatan Turkiye, awal pagi Isnin tidak akan menjejaskan aksi jelajah pramusim 2023 pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Antalya, Turkiye.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, kejadian gempa bumi di Turkiye adalah di zon berbeza yang tidak melibatkan jadual pasukan sepanjang 10 hari berada di negara itu.

"Saya tahu, bencana di Turkiye itu menimbulkan kebimbangan semua pihak terutamanya kaum keluarga pemain dan penyokong di Malaysia tetapi kejadian itu berlaku berada di zon yang berbeza.

"Jadi, empat perlawanan persahabatan menentang empat kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine yang akan berlangsung di Limak Arcadia Sports Center diteruskan seperti perancangan awal,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sepanjang 10 hari berada di Antalya, pasukan itu akan mengadakan empat perlawanan persahabatan bertemu pasukan FC Nasaf dari Uzbekistan pada 9 Februari, diikuiti kelab dari Kazakhstan iaitu FC Shakhter Karagandy di Limak Sports Center (10 Februari).

Sementara dua lagi aksi, membabitkan kelab FK Maktaaral dari Kazakhstan di Limak Sports Center dan kelab dari Ukraine iaitu FC Metalist Kharkiv di Ekodizayn 1 masing-masing pada 12 dan 14 Februari.

Semua perlawanan akan berlangsung pada pukul 5 petang waktu Turkiye bersamaan 10 malam waktu Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram