[VIDEO] Warga emas nyaris maut, rumah runtuh dihempap batu setinggi lima kaki


  • Benua
  • Selasa, 31 Jan 2023

Seorang lelaki warga emas nyaris maut apabila seketul batu menghempap dinding rumahnya di Hawaii baru-baru ini.

SEORANG lelaki warga emas nyaris maut selepas rumahnya dihempap seketul batu yang mengakibatkan keruntuhan di kawasan perumahannya dekat Hawaii, Amerika Syarikat pada Ahad.

Rakaman kejadian menyaksikan rumah terbabit musnah sekelip mata ketika lelaki itu sedang berjalan dalam rumahnya di Honolulu, Hawaii.

Difahamkan, seketul batu setinggi lima kaki telah menembusi dinding dan ruang tamu rumah berkenaan secara tiba-tiba namun mangsa sempat mengelak daripada kejadian itu.

Sebuah kereta turut mengalami kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.

Menurut mangsa lelaki yang dikenali sebagai Caroline Sasaki, kejadian itu berlaku tanpa diduga dan nasib menyebelahinya apabila lelaki itu sempat mengelak.

"Apa yang saya dengar hanyalah bunyi dentuman kuat sebaik kaca dan pintu rumah musnah, jadi saya terus berundur dan membiarkan batu itu melepasi saya," kata lelaki berusia 65 tahun itu.

Keluarga tersebut baru sahaja berpindah ke rumah berkenaan yang dikhabarkan siap dibina kurang dari seminggu lalu.

"Saya belum menonton rakaman itu, tetapi mereka berkata jika saya mengambil satu langkah sahaja lagi, kemungkinan besar saya sudah tiada di sini," ceritanya lagi.

Sasaki dan keluarganya percaya bahawa kejadian itu berlaku susulan kerja-kerja penggalian yang dijalankan di kawasan sekitar berkenaan.

Dalam pada itu, pemilik pembangunan Bingning Li menegaskan insiden itu bukan berpunca daripada projek yang dijalankan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram