[VIDEO] Kanak-kanak 2 tahun malang, diikat ibu angkat tanpa pengawasan


  • Benua
  • Selasa, 31 Jan 2023

Kanak-kanak tersebut ditemui berseorangan dan ditinggalkan dalam keadaan memilukan itu.

TULAR sebuah video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun diikat ketika ditemui pihak berkuasa dalam sebuah rumah yang tidak diawasi.

Kejadian yang difahamkan berlaku di Kabupaten Timor Tengah Selatan, Indonesia tersebut tular selepas satu video berdurasi 2 minit 51 saat yang dimuat naik pada Isnin.

Dalam rakaman tersebut, kelihatan sekumpulan penduduk dan pihak berkuasa memasuki sebuah rumah kayu sebelum menggeledah salah satu bilik.

Usaha tersebut akhirnya memperlihatkan seorang kanak-kanak berbaju kuning diikat dan ditinggalkan di atas lantai dengan keadaannya yang tidak terurus.

Melihat keadaan kanak-kanak malang itu, salah seorang pegawai terus mendokongnya dan dibawa ke perkarangan rumah sebelum difahamkan diberi bantuan sewajarnya.

Jurucakap polis mengesahkan kejadian berkenaan tidak berkaitan dengan sebarang kes penculikan, tetapi merupakan kes penganiayaan oleh seorang ibu angkat.

"Ibu kepada kanak-kanak itu bekerja di Kalimantan, Indonesia dan mengambil keputusan untuk diberikan kepada seorang ibu angkat. Namun, dia tidak menyangka bahawa anaknya akan diseksa sedemikian," katanya.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Wilayah, Pesuruhjaya Ariasandy berkata, kejadian berlaku ketika wanita tersebut mengikat kanak-kanak berkenaan kerana tiada penjaga setelah dia bekerja di salah satu kebun berhampiran.

"Ketika itu, ibu angkatnya sudah pergi ke kebun dan disebabkan kanak-kanak itu tidak berjaga, dia sudah diikat dan ditinggalkan dengan keadaan sedemikian.

"Kanak-kanak itu kerap bermain dengan najis sendiri setiap kali pergi ke tandas, jadi diikat untuk mengelakkannya daripada terus mengotorkan rumah," katanya.

Tambahnya, laporan dibuat penduduk setempat yang mengetahui akan nasibnya dengan tindakan pihak polis berjaya menyelamatkannya daripada terus dianaiya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram