DUA orang pengunjung sebuah kafe di Kediri, Jawa Timur, Indonesia berdepan detik cemas apabila mereka dihanyutkan arus sungai pada Ahad lalu.
Difahamkan, mangsa sebelum itu turun ke sungai yang berada di tepi kafe tersebut.
Namun, secara tiba-tiba arus sungai menjadi laju sehingga menghanyutkan mereka berdua dan kejadian tersebut sempat dirakam sebelum tular di media sosial.
Kedua-dua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pekerja kafe berkenaan.
Insiden tersebut turut menarik perhatian pemilik kafe berkenaan, House Of Riverside yang menjelaskan bahawa pihaknya sudah menasihati pengunjung untuk sentiasa berhati-hati jika mahu turun ke sungai.
"Ketika kejadian, terdapat empat pengunjung wanita yang turun ke sungai dan secara tiba-tiba, air sungai menjadi deras. Tiada hujan di kawasan kafe tetapi di kawasan atas sungai sudah didapati mendung.
"Seluruh pekerja kafe sudah cukup faham dengan situasi ini dan sentiasa berjaga-jaga. Malah, kedua-dua mangsa juga diselamatkan oleh dua pekerja kami.
"Kita juga sudah membuat satu tanda amaran berkaitan dengan arus sungai yang boleh deras secara tiba-tiba tetapi mungkin ada yang terlepas pandang," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram