[VIDEO] Lari lepas isi petrol, pemandu Innova mengamuk ditahan polis


  • Benua
  • Khamis, 26 Jan 2023

Tangkap layar pemandu lelaki mengasari polis ketika ditahan.

SEORANG lelaki bertindak ganas ketika ditahan polis selepas didakwa cuba melarikan diri kerana tidak membayar wang petrol di sebuah stesen minyak di Telawang dekat Kalimantan Selatan, Indonesia.

Suspek yang memandu sebuah Toyota Innova pada mulanya dikejar dan dihalang oleh staf stesen minyak terbabit tetapi dapat meloloskan diri di persimpangan Kuripan, Jalan A Yani KM 3, Banjarmasin Timur.

Kejadian itu disaksikan oleh anggota polis yang bertugas di pondok pengawal berhampiran yang kemudiannya turut membantu dan menahan suspek di lokasi tersebut.

Namun, pemandu itu bertindak agresif dengan menolak dan mengasari polis berkenaan sebaik ditahan.

Video kejadian itu sempat dirakamkan orang ramai dan tular di media sosial.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Banjarmasin, Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) R Djoko S mengesahkan kejadian terbabit.

"Anggota polis cuba bertenang dan meredakan suasana tegang yang berlaku ketika pemandu itu sedang mengganas.

"Tenang menghadapi situasi, suspek kemudiannya berjaya ditangkap tanpa menggunakan sebarang kekerasan," katanya.

Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Banjarmasin untuk siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram