Turkiye semakin yakin mampu bangunkan kapal selam tanpa pemandu


  • Benua
  • Khamis, 26 Jan 2023

Turkiye sedang dalam pembinaan sebuah kapal selam tanpa pemandu.

FIRMA pertahanan Turkiye, STM meletakkan sasaran baharu untuk membangunkan kapal selam tanpa pemandu.

Langkah itu selepas menghantar kapal selam kedua kelas Agosta 90B yang menjadi milik Tentera Laut Pakistan iaitu produk pertama Turkiye dalam pelan eksport pemodenan pengangkutan laut tentera itu.

Ozgur Guleryuz, pengurus besar firma STM difahamkan mahu menjadi antara entiti terkuat arena antarabangsa dengan produk yang dihasilkan dalam industri pembangunan kapal selam.

Menekankan bahawa kapal selam adalah sistem yang sangat kompleks dari segi kejuruteraan, termasuk teknologi yang sangat tinggi, Guleryuz berkata mereka mahu memainkan peranan besar dalam usaha yang dijalankan.

"Kami mahu mengambil peranan besar dalam kedua-dua aktiviti pemodenan, reka bentuk dan pembinaan dengan menggunakan kecekapan sepenuhnya.

"Kapal selam tanpa pemandu juga antara perancangan kami di mana ia diyakini mampu dicapai.

“Kajian dan aktiviti penyelidikan serta pembangunan (R&D) melibatkan pembinaan kapal selam diteruskan secara intensif,” katanya.

Mengulas mengenai pemodenan kapal selam Tentera Laut Pakistan, Guleryuz berkata projek itu bermula pada 2016 selepas memperoleh tender hasil persaingan dengan pihak pengeluar bagi idea pemodenan kapal selam Kelas Agosta 90B buatan Perancis.

Merujuk kepada pelan hala tuju STM untuk teknologi kapal selam, Guleryuz menjelaskan,pemodenan kapal selam Kelas Ay telah siap dan dihantar pada tahun 2015, manakala pembinaan kapal selam Kelas Preveze pula sedang dijalankan.

Dalam pada itu, reka bentuk kapal selam STM500 juga diteruskan dan ia dihasilkan dengan terperinci selain firma itu turut percaya bahawa projek berkenaan akan berjaya.

Dengan terhasilnya STM500, akan mewujudkan ruang untuk urus niaga kapal selam yang direka oleh jurutera Turkiye di luar negara bersama sistem dibangunkan dalam negara selain digunakan oleh Komando Angkatan Laut Turkiye. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram