KETUA Polis Thailand, Damrongsak Kittiprapas telah mengarahkan siasatan segera dilakukan terhadap khidmat polis pengiring dan imigresen tidak sah yang dijual atas talian.
Tindakan tatatertib yang keras juga akan dikenakan terhadap pegawai yang terlibat melakukan perkara itu.
Aktiviti itu sebelum ini didedahkan sebuah laman Facebook berkaitan khidmat polis pengiring dan kemudahan imigresen yang disediakan terhadap individu penting (VIP) dari China.
Malah, khidmat itu juga didakwa sudah ditawarkan sejak 10 tahun yang lalu.
Kittiprapas berkata, arahan siasatan segera sudah dilakukan terhadap aktiviti perniagaan terlarang yang didalangi pegawai polis.
Menurutnya, siasatan sedang dilakukan terhadap seorang wanita China yang mengakui dia sudah membayar polis Thailand untuk mendapatkan khidmat VIP sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Wanita itu juga memuat naik video yang memaparkan seorang pegawai polis pelancong dan polis trafik yang menyediakan khidmat tersebut.
Video itu dimuat naik di sebuah platform media sosial sebagai kenangannya ketika melawat Thailand. Video itu bagaimanapun tular dan mendapat kritikan daripada rakyat Thailand.
Menurut Kittiprapas, pihaknya memiliki aturan dan kriteria yang sudah ditetapkan untuk polis pengiring dan video tersebut menunjukkan perkara yang sebaliknya.
Ujarnya, polis yang mengenakan uniform dan menggunakan kenderaan peribadi atau polis untuk membuat kerja tambahan adalah salah kerana perkara itu bukan arahan daripada ketua masing-masing.
Tambahnya, dia juga akan memastikan sesiapa sahaja pegawai dan anggota yang terlibat akan dikenakan hukuman tegas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram