TONGGAK pertahanan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco, optimis pasukan ‘The City Boys’ itu akan mengharungi cabaran Liga Super 2023 bermula bulan depan dengan berada dalam kelompok tiga pasukan teratas musim ini.
Katanya, pencapaian kedudukan tersebut pada akhir musim ini adalah penting untuk memburu tempat dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas muncul naib juara musim lalu susulan tewas 0-3 kepada kelab dari Oman, Al Seeb pada aksi final, Oktober lalu.
"Kami menetapkan penanda aras tinggi selepas menamatkan saingan di kelompok enam teratas dalam dua musim lalu. Walaupun menampilkan pencapaian menakjubkan dalam Piala AFC tetapi kami berasa agak tidak puas hati, musim lalu.
"Sekarang kami mempunyai skuad yang lebih besar, sudah tentu kami mahu mengejar slot Piala AFC sekali lagi dan menamatkan saingan di peringkat tiga teratas," katanya.
Gallifuoco berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan lawatan bersejarah pertandingan kalah mati domestik tertua dan paling popular di dunia iaitu Piala FA Inggeris (Piala FA Emirates), di Central I-City, Shah Alam pada Rabu.
Ketika Johor Darul Takzim (JDT) dijangka mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, Gallifuoco, pemain kelahiran Australia berusia 29 tahun itu juga percaya Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC akan menjadi antara pasukan yang perlu diberi perhatian pada musim baharu ini.
"Apabila JDT berbelanja 15 kali lebih tinggi daripada semua pasukan lain, sudah tentu kualiti mereka sangat tinggi tetapi selain itu, Kedah dengan jurulatih baharu (Mohd Nafuzi Zain), saya percaya mereka akan memberi saingan hebat.
"Kemudian anda mempunyai Sabah FC kerana mereka telah merekrut dengan baik termasuk pemerolehan penyerang kebangsaan, Darren Lok...jadi ia menyeronokkan untuk menonton mereka," katanya.
Dalam pada itu, pemain tengah KL City, Kenny Pallraj, berkata, penyertaan penyerang kelahiran Brazil, Herlison Caion, dalam skuad tersebut, sudah pasti memberi tonik kepada barisan penggempur dan akhirnya membantu pasukan muncul sekurang-kurangnya dalam kelompok empat teratas musim serta mara ke peringkat final dalam setiap pertandingan.
Selepas membantu Selangor FC mara ke final Piala Malaysia dan menduduki tempat kelima Liga Super, musim lalu, Caoin, pemain berusia 32 tahun itu yang meledak 24 gol, mengambil keputusan mengejut dengan menyertai KL City FC, musim baharu ini.
Sementara itu, Pengurus Kanan Jenama FA England, Ryan Armstrong, kagum dengan keghairahan peminat bola sepak tempatan semasa jelajah sehari Piala FA.
"Terdapat banyak kasih sayang dan semangat daripada peminat Malaysia kerana hampir semua orang menghadiri acara itu menyarung jersi kelab kegemaran mereka,” katanya sambil berharap untuk melihat jelajah itu menjadi acara tahunan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia melihat sendiri trofi Piala FA.
Selepas Malaysia, jelajah yang bermula di Sydney, Australia, Isnin lalu, akan menuju ke Singapura, esok dan akan berakhir di Seoul, Korea Selatan, hujung minggu ini. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram