SEKURANG-KURANGNYA empat maut manakala sembilan lagi cedera selepas sebuah kren yang digunakan untuk perarakan upacara keagamaan tumbang di hadapan sebuah kuil bertempat di Keelveethi, Arakkonam, India.
Menurut pegawai atasan Ranipet Bhaskara Pandiyan, pihaknya masih lagi menyiasat tentang insiden tersebut.
"Pihak kami masih lagi menjalankan siasatan dan pengendali tren itu juga sudah ditahan," katanya memetik laporan media antarabangsa ANI News.
Sementara itu, pihak polis tempatan turut mengesahkan kejadian terbabit tetapi jumlah mangsa yang cedera belum dapat dipastikan.
Katanya, kejadian itu berlaku di kuil Draupathi bertempat di Ranipet Tamil Nadu.
"Ketika kejadian, lebih daripada lapan orang individu berada di atas kren tersebut untuk menerima kalungan bunga daripada para penganut yang menyambut upacara keagamaan tersebut," katanya.
Tragedi itu turut tular di media sosial.
Dalam video berdurasi lebih daripada seminit itu memaparkan beberapa orang individu sedang berada di atas kren berkenaan sebelum ia secara tiba-tiba tumbang dan menghempap orang ramai.
Turut kelihatan, orang awam yang berada di tempat kejadian bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.
Dalam perkembangan lain, seorang saksi kejadian yang tidak didedahkan identitinya berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.15 malam.
"Kren yang digunakan untuk membawa patung dewa dan dewi itu secara tiba-tiba hilang keseimbangan dan terhempas," katanya.
Saksi tersebut turut menjelaskan perarakan itu adalah sebahagian daripada perayaan Draupathi Amman yang diadakan selepas Pesta Pongal. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram