AKSI seorang pegawai polis yang menunjukkan isyarat jari tengah kepada seorang pengguna jalan raya di Jakarta, Indonesia tular di media sosial.
Rakaman yang berdurasi 30 saat itu memaparkan anggota penguatkuasa berkenaan berkelakuan tersebut terhadap penunggang motosikal yang sedang mengiringi ambulans ke Hospital Cipto Mangunkusumo (RCSM) pada Khamis.
Kejadian itu dilaporkan bermula selepas beberapa orang awam yang membantu ambulans berkenaan secara sukarela untuk menjemput pesakit di hospital tersebut.
Namun, ketika sedang melalui Jalan Sultan Agung, Tebet, Jakarta Selatan, dua daripada mereka yang dikenali sebagai Irsyad dan Andika menyalakan lampu kecemasan kepada polis yang menunggang motosikal itu.
Berang akan perkara itu, pegawai tersebut bertindak untuk tidak memberi kerjasama selain didapati membebel seorang diri akan kejadian itu.
Tidak cukup dengan itu, dia yang masih belum reda dengan tindakan sukarelawan tersebut memilih untuk mendekati pemandu ambulans sebelum bertikam lidah di atas jalan raya.
Menyedari akan perkara tersebut, salah seorang penunggang motosikal yang dikenali sebagai Ferry kemudiannya menghampiri polis tersebut sambil merakam kelakuannya.
Sementara itu, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perhubungan Polis Jakarta menegaskan pegawai berkenaan sudah dikenal pasti dan disoal siasat mengenai isu tersebut.
Menurutnya, walaupun kedua-dua pihak sudah berdamai, media mengesahkan tindakan masih tetap akan diambil terhadap polis tersebut atas kesalahan tatatertib. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram