SEORANG nenek berusia 103 tahun berada dalam keadaan ketakutan selepas dirinya menjadi mangsa samun empat lelaki di rumahnya di Malang, Indonesia pada Isnin lalu.
Kejadian itu juga dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kesemua penjenayah itu bergerak berkumpulan dengan menggunakan dua motosikal.
Menerusi video tersebut, salah seorang daripada penjenayah itu telah pergi ke arah nenek yang berada di laman rumahnya sebelum menekup mulutnya dan merampas rantai emasnya.
Kesemua suspek kemudian terus melarikan diri dan tidak sempat dikejar sesiapa.
Sementara itu, Ketua Polis Pakis, Moh Lutfi berkata, pihaknya sudah menerima laporan daripada mangsa dan usaha untuk mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan.
"Penjenayah telah merampas rantai emas mangsa seberat 9.4 gram yang dianggarkan bernilai lebih kurang RM1,700.
"Modus operandi yang digunakan penjenayah adalah dengan berpura-pura tanya alamat rumah dan ketika mangsa cuba menoleh, mereka akan menekup serta lakukan samun," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram