[VIDEO] Lapar perhatian, 14 lelaki sanggup bergesel-gesel atas motor serentak


  • Benua
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Tangkap layar memaparkan tindakan melampau sekumpulan lelaki berhimpit-himpit di atas tiga buah motosikal di India.

TULAR baru-baru ini apabila 14 lelaki menunggang tiga buah motosikal secara berhimpit-himpit di India semata-mata bagi mendapatkan perhatian di media sosial.

Rakaman video itu dikongsikan oleh India.com di Twitter, memaparkan enam lelaki berhimpit di atas sebuah motosikal dan empat lagi masing-masing berhimpit di atas dua lagi motosikal berbeza.

Rakaman tersebut menunjukkan mereka melakukan aksi berbahaya di bahagian lebuh raya Bareilly-Nainital, India pada Ahad.

Perbuatan mereka mengancam pengguna jalan raya yang lain dan menimbulkan kecaman pengguna media sosial.

Walau bagaimanapun, video tersebut mendapat perhatian pihak polis dan susulan daripada itu, ketiga-tiga motosikal berkenaan berjaya dirampas.

Menurut laporan India.com, suspek dikesan berdasarkan nombor plat motosikal masing-masing dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang.

Ketua Polis Bareilly, Akhilesh Kumar Chaurasia berkata, “Apabila maklumat diterima, motosikal tersebut dirampas dan tindakan lanjut sedang diambil.”

Insiden itu berlaku dua hari selepas tiga lelaki dari Uttar Pradesh dilihat melakukan aksi melampau di dalam kereta peronda polis. Kesemua suspek dilihat melakukan aksi berbahaya dan mengambil swafoto dalam kereta peronda berlogo polis yang sedang dipandu di lebuh raya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media mengecam tindakan 14 lelaki tersebut.

"Macam dah tidak ada kerja lain mereka ini, sanggup bahayakan nyawa sendiri," kata Amran.

"Mereka bukan bahayakan nyawa sendiri sahaja, tapi pengguna jalan raya yang lain juga," luah Minnida.

"Ini kalau kemalangan, tak tahu la dapat viral ke dapat sakit," kata Salim.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Motosikal, India, Aksi bahaya, 'Stunt', Twitter