IMPIAN Harimau Malaya untuk menempah tiket sebagai finalis pusingan akhir Piala AFF 2022 terkubur di tangan Thailand.
Begitupun pujian wajar diberikan kepada skuad 'mesin' Harimau Malaya pada kempen kali ini menyaksikan anak-anak buah Kim Pan-gon tetap berjaya memperoleh keputusan memberangsangkan.
Skuad Harimau Malaya yang 'bersalin kulit' dengan penampilan beberapa muka baharu ekoran ketiadaan pemain utama tetap memberikan saingat sengit kepada lawan.
Peluang mewakili negara pada edisi kali ini menjadi medan kepada beberapa pemain muda menonjolkan bakat masing-masing untuk menambat hati Kim Pan-gon bagi kejohanan seterusnya.
Selain Stuart Wilkin yang mencipta nama sebagai penjaring terbanyak di belakang Faisal Halim dalam debut bersama Harimau Malaya kali ini, berikut empat lagi pemain yang menyinar sepanjang kempen Piala AFF 2022.
1) Haqimi Azim
Nama pemain kelahiran Gombak, Selangor kian meningkat selepas mempamerkan persembahan bertenaga di pentas Piala AFF pada penampilan sulung di kejohanan tersebut.
Penyerang KL City FC itu mencetak nama sebagai salah seorang penjaring gol ketika perlawanan menentang Laos. Bahkan jaringan cantik itu masih hangat diperkatakan sehingga ke hari ini.
Jika terus diberikan peluang serta pendedahan berpanjangan, Haqimi bakal menempa nama sebagai pemain prolifik negara suatu hari nanti.
Nur Shamie Iszuan menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi. — Facebook
2) Nur Shamie Iszuan
Ketiadaan tonggak sayap, Arif Aiman Hanapi di Harimau Malaya pada Piala AFF kali ini membuka ruang kepada pemain Sri Pahang FC itu mewakili negara.
Pemain berusia 27 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang di posisi bek kanan sehingga mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air.
Malah, dia juga memiliki larian pantas hampir sama seperti Arif Aiman, selain rajin di atas padang dan menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi.
Persembahan Nor Hakim di Harimau Malaya turut mendapat pujian Cheng Hoe. — Facebook
3) Nor Hakim Hassan
Pemain Selangor FC itu mempamerkan aksi yang cukup memberangsangkan bersama skuad Harimau Malaya, malah persembahannya turut mendapat pujian jurulatih kelab Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe.
Begitupun ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki oleh pemain ini khususnya dari segi konsistensi bagi membolehkan namanya tersenarai dalam call up Piala Asia 2023 nanti.
Apapun penampilan di peringkat antarabangsa itu tentunya memberikan pengalaman cukup berharga buat Nor Hakim yang menyarung jersi The Reds musim ini.
Ruventhiran menunjukkan permainan lebih matang di bawah bimbingan Pan-gon. — Facebook
4) V Ruventhiran
Pemain ini pernah dianugerahkan title Man of the Match ketika perlawanan Malaysia menentang Thailand pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dia yang kembali ke pangkuan Selangor FC pada musim ini menunjukkan permainan lebih matang di bawah bimbingan Pan-gon.
Tonggak fleksibel Harimau Malaya yang baru berusia 21 tahun itu berkemampuan menggalas tanggungjawab di bek pertahanan meskipun selesa beraksi di posisi sayap.
Tentunya kelebihan dan pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan dapat menjadi bekalan untuk Ruventhiran menunjukkan belang apabila mewakili Gergasi Merah nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram