[VIDEO] Kepala dihempas ke tanah, wanita trauma diserang lelaki misteri ketika joging sendirian


  • Benua
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Rakaman CCTV mendapati wanita yang sedang berjoging itu tiba-tiba diserang dari arah belakang oleh suspek yang tidak dikenali di Sydney, Australia baru-baru ini. — Agensi

SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila dia tiba-tiba diserang lelaki tidak dikenali ketika sedang beriadah seorang diri di kawasan perumahan di Australia baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku di Sydney, Australia itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudiannya diambil pihak polis untuk membantu siasatan.

Dalam klip tersebut, wanita itu diserang dari arah belakang dengan suspek menariknya dengan kasar di bahu dan rambut sebelum menolaknya secara kasar sehingga terjatuh.

Bagaimanapun, dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius walaupun dilihat seakan-akan dipukul di kepalanya sebelum lelaki tersebut meninggalkan kawasan berkenaan.

Menurut mangsa, suspek berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 25 tahun dengan ketinggian kira-kira 1.7m di samping memiliki rambut hitam mencecah paras bahu.

Selain itu, berdasarkan rakaman tersebut, dia dilihat memakai baju dan seluar berwarna hitam.

Kes itu dilaporkan berlaku pukul 7 malam pada 29 Disember lepas dan suspek masih bebas.

Pada Jumaat, polis yang sedang giat melakukan siasatan mengeluarkan rakaman CCTV berkenaan selain meminta agar orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut untuk tampil bagi membantu siasatan mengenai kes tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Australia, CCTV, Jogging, Beriadah, Lelaki, Asia, Sydney, Cemas