[VIDEO] Gara-gara 'laptop' hilang, tetamu sanggup guna Audi rempuh pintu hotel


  • Benua
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Pemandu yang memandu kereta mewah berwarna putih dilihat merempuh pintu masuk hotel sebelum mengundur dan merempuh sekali lagi ke dalam lobi.

SEORANG tetamu hotel yang berang nekad merempuh lobi sebuah hotel di Shanghai, China menggunakan kereta yang dipandunya selepas bertengkar dengan pekerja hotel mengenai kehilangan komputer ribanya, lapor Next Shark pada Rabu.

Lelaki berusia 28 tahun itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan pekerja tersebut sebelum bertindak merempuh pintu masuk kaca hotel di Lujiazui, China.

Kejadian itu berjaya dirakam dan dikongsikan oleh orang ramai di media sosial.

Tetamu itu dikatakan memandu secara melulu di sekitar lobi hotel tersebut dalam kejadian pada Selasa.

Berdasarkan rakaman video tersebut, pemandu yang memandu kereta mewah berwarna putih dilihat merempuh pintu masuk hotel sebelum mengundur dan merempuh sekali lagi ke dalam lobi.

Pemandu itu kemudiannya cuba untuk memandu keluar dari lobi hotel berkenaan mengikuti pintu masuk yang sama, namun cubaannya gagal akibat terhalang dengan pintu hotel berkenaan.

Tindakan pemandu itu turut cuba dihentikan oleh orang ramai yang berada di perkarangan lobi hotel ketika kejadian berlaku.

Kakitangan hotel dan penonton dapat dilihat memukul dan mengarahkan pemandu untuk keluar dari kereta tersebut.

Menurut polis tempatan, pemandu kenderaan tersebut dipercayai bertengkar dengan kakitangan hotel itu mengenai kehilangan komputer ribanya ketika menginap di premis berkenaan.

Kakitangan hotel berkata, bahawa komputer riba milik pemandu itu telah dicuri dan dijumpai berada di luar hotel tersebut.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut manakal pemandu itu kemudiannya ditahan polis untuk siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram