SEORANG lelaki yang didakwa pembuli jalanan, menemui ajal selepas digilis dan dibelasah seorang individu di persimpangan Jalan Los Naranjos dan Edmundo Pérez Zujovic Avenue, Chile baru-baru ini.
Ketika kejadian, mangsa yang terlebih dahulu dilihat mengejar dan memukul seorang lelaki kemudiannya dirempuh sebuah kereta biru yang meluru ke arahnya secara tiba-tiba.
Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tercampak dan terkulai sehingga tidak sedarkan diri di bahu jalan berkenaan.
Lebih memilukan, mangsa kemudiannya ditendang dan dipukul oleh si pemandu terbabit berulang kali tanpa belas kasihan.
Susulan kejadian tersebut, Pejabat Pendakwa Raya mengarahkan unit penyiasat IAPA Carabineros untuk menyiasat kes itu dan mencari mereka yang terlibat dalam kes berkenaan.
Rakaman tular itu tersebar meluas di laman media dan sekali gus mengundang ketakutan dalam kalangan komuniti penduduk di Antofagasta.
Motif sebenar kejadian masih belum diketahui dan sehingga kini masih belum ada sebarang tangkapan dilaporkan pihak polis dengan siasatan sedang giat dijalankan berhubung kes pembunuhan kejam itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram