[VIDEO] Nenek bertongkat payung tenang diacu pisau, jadi tebusan


  • Benua
  • Rabu, 11 Jan 2023

Tangkap layar video tular seorang wanita menjadi mangsa tebusan seorang lelaki secara tiba-tiba di Yishun, Singapura. — Agensi

SEORANG lelaki ditahan selepas menjadikan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun sebagai tebusan dengan mengacu pisau di leher mangsa di Yishun, Singapura pada Selasa lalu.

Suspek, Mohamed Faizal Mohamed Ariff, 41, yang ditahan di lokasi kejadian kini direman di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Polis Singapura dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal mendapati suspek bukan di bawah pengaruh dadah.

Jelasnya, suspek telah dibawa ke mahkamah atas tuduhan memiliki senjata berbahaya dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan enam kali sebatan.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan seorang wanita bertudung menjadi menjadi tebusan suspek yang mengacukan pisau ke leher mangsa.

Ketika kejadian, kelihatan beberapa anggota polis cuba menenangkan suspek yang tidak mahu menyerah diri sambil mengheret wanita berkenaan.

Wanita itu bagaimanapun kelihatan tenang sebelum polis kemudian berjaya menahan suspek di lokasi kejadian.

Menurut laporan media yang menemu bual mangsa, dia pada mulanya sedar dirinya diekori kira-kira pukul 7.35 pagi sebelum bertindak meminta suspek menghentikan perbuatannya.

Suspek bagaimanapun enggan akur dan secara tiba-tiba mengacu pisau ke leher mangsa dan menjadikannya sebagai tebusan ketika cuba ditahan polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram