SEORANG kanak-kanak perempuan malang dilaporkan cedera parah di muka selepas digigit seekor anjing liar di Gujerat, India pada Isnin.
Insiden ngeri yang berjaya dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan detik cemas tersebut berlaku di kawasan rumah mangsa, lapor India.com.
Mangsa yang dipercayai berusia lima tahun dilaporkan hampir kehilangan kulit muka diserang oleh seekor anjing liar ketika mangsa bermain di sekitar kawasan rumahnya.
Rakaman tersebut dikongsikan semula oleh Gujarat Tak di Twitter, memaparkan kanak-kanak tersebut pada awalnya berlari ke arah anjing tersebut namun tiba-tiba anjing itu bertindak balas dengan agresif dan terus menerkam dan mula menggigit muka mangsa.
Ibu mangsa yang menyedari situasi tersebut bergegas cuba menyelamatkan anaknya daripada mengalami kecederaan yang lebih teruk.
Menurut laporan Shiksha News, kanak-kanak tersebut menerima beberapa jahitan di mukanya dan ibu mangsa turut mengalami kecederaan ringan.
Ancaman anjing liar dilaporkan semakin meningkat dan beberapa kejadian seumpama itu banyak dilaporkan di India sejak kebelakangan ini.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram