[VIDEO] Terperangkap 4 hari dalam cerucuk konkrit sempit, budak 10 tahun maut habis oksigen


  • Benua
  • Khamis, 05 Jan 2023

Operasi menyelamat kanak-kanak malang tersebut mengambil masa lebih 100 jam. — Agensi

SEORANG kanak-kanak lelaki Vietnam disahkan meninggal dunia pada Rabu, selepas empat hari terjatuh ke dalam cerucuk konkrit sempit di sebuah tapak pembinaan.

Pasukan penyelamat mengambil masa hampir 100 jam untuk membebaskan Ly Hao Nam dari tiang sokongan sepanjang 35 meter yang didorong ke dalam tanah, namun usaha itu tidak membuahkan hasil.

"Pihak berkuasa sudah mengesahkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia dan sedang berusaha mendapatkan mayat untuk pengebumian," kata Timbalan Pengerusi Wilayah Selatan Dong Thap, Doan Tan Buu.

Nam didengari menangis meminta tolong sejurus selepas dia terjatuh ke dalam cerucuk konkrit berongga, yang mempunyai diameter 25 sentimeter (cm) pada malam Tahun Baharu 2023 di sebuah tapak pembinaan jambatan di Wilayah Delta Mekong.

Dia dilapor keluar untuk mencari besi buruk bersama rakan-rakannya.

Pada Rabu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh menggesa penyelamat dan pihak berkuasa tempatan untuk menggerakkan semua peralatan dan pasukan yang diperlukan.

Sebelum ini pada Februari 2022, seorang kanak-kanak lima tahun, Rayan Awram yang terperangkap dalam lubang perigi sedalam 32 meter di wilayah Chefchaoen, utara Maghribi mengalami nasib sama apabila disahkan meninggal dunia.

Rayan sebelum itu dilaporkan terperangkap dalam lubang sedalam 32 meter berhampiran rumah keluarganya di perkampungan Ighrane di wilayah Chefchaouen. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram