Rawat sendiri luka melecur di badan anak akibat main api, suami isteri kena cekup


  • 112
  • Rabu, 04 Jan 2023

Pasangan tersebut ditahan berikutan salah seorang ahli keluarga mereka yang tidak berpuas hati dengan sikap ibu bapa kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis

SEPASANG suami isteri ditahan polis kerana gagal menghantar anak mereka yang melecur ke hospital untuk mendapatkan rawatan lima hari selepas kejadian itu berlaku.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib, pasangan tersebut ditahan berikutan salah seorang ahli keluarga mereka yang tidak berpuas hati dengan sikap ibu bapa kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis.

Katanya, individu berkenaan menemui mesej dalam Kumpulan WhatsApp keluarga mengenai keadaan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang melecur di bahagian kanan badan, ketiak dan peha pada Selasa.

"Kejadian itu berlaku pada Sabtu lalu. Ibu bapa kanak-kanak berkenaan mengambil keputusan sendiri untuk merawat sendiri luka melecur anak mereka daripada menghantar mangsa ke hospital,"

"Pengadu bersama suami dan ibunya yang tinggal di Kampung Parit Kudus dekat Pontian Johor pergi ke rumah pasangan itu di Kampung Parit yang terletak daerah yang sama serta cuba menasihatkan ibu bapa kanak-kanak itu supaya menghantar anak mereka ke hospital tetapi mereka tidak mengendahkan nasihat mereka," katanya dalam kenyataan.

Tambah Shofee lagi, pengadu tidak berpuas hati kerana mereka (pasangan itu) enggan menghantar mangsa ke hospital selepas lima hari dan luka melecur semakin teruk.

"Budak lelaki itu melecur selepas bermain api di longgokan sampah dengan membuang sarung telur ke dalam api sehingga menyebabkan letupan.

"Malangnya, baju dan seluar mangsa terbakar dan kanak-kanak lelaki itu terjun ke dalam parit yang terletak di hadapan rumah keluarga untuk memadamkan kebakaran.

"Ibu mangsa turut membantu memadamkan api dan segera membawanya masuk ke dalam rumah. Ibu bapa budak itu hanya membeli krim dan ubat penahan sakit dari farmasi untuk merawat melecur," kata Shofee.

Susulan daripada laporan berkenaan, polis melawat rumah keluarga itu dan menghantar budak itu ke Hospital Pontian di Johor.

Kedaan mangsa stabil dan akan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Baru untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Shofee, lelaki berusia 36 tahun itu dan isterinya berusia 33 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram