SELURUH dunia berduka selepas kanak-kanak lima tahun, Rayan Awram yang terperangkap dalam lubang perigi sedalam 32 meter di wilayah Chefchaoen, utara Maghribi sejak lima hari lalu disahkan meninggal.
Kematian Rayan disahkan oleh pemerintah Maghribi, Raja Mohammed VI seperti dilaporkan Arab News pada Ahad.
Rayan sebelum itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat pada malam Sabtu, waktu Maghribi (pagi Ahad waktu Malaysia).
Laungan Allahuakbar dan tepukan gemuruh kedengaran ketika kanak-kanak malang itu kelihatan dibawa keluar dari terowong berkenaan selepas menempuh operasi yang cukup panjang dan mendebarkan.
Operasi menyelamatkan Rayan disifatkan sangat kritikal lebih-lebih berlaku insiden sedikit runtuhan tanah ketika saat-saat akhir proses membawa keluar mangsa.
Laporan Daily Mail menyebut, pasukan penyelamat dirakam mengeluarkan Rayan dan membawanya keluar dari tempat kejadian untuk dirawat oleh doktor, ketika beribu-ribu penduduk kampung yang berkumpul melaungkan doa dan ucapan selamat.
Bagaimanapun pegawai kerajaan Maghribi mengesahkan bahawa budak lelaki itu tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia sebelum penyelamat sampai kepadanya.
Mayatnya dilihat dibalut dengan selimut kuning selepas dia dibawa keluar dari terowong yang digali khusus untuk operasi menyelamat itu.
Insiden itu dikatakan berlaku selepas pasukan perubatan dilihat memasuki terowong dengan pengusung, di mana mereka berada selama lebih sejam di dalam terowong terbabit.
Sebaik dibawa keluar, Rayan dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter yang sudah ditugaskan menunggu di luar kawasan penggalian. Turut menemani Rayan ialah kedua-dua ibu dan bapanya.
Menurut laporan berita Arab News, Rayan dipercayai mengalami kecederaan di kepala, kecederaan saraf tunjang serta patah tulang di beberapa bahagian badannya.
Pasukan penyelamat dan perubatan menyelamatkan Rayan dengan cara memasuki terowong penggalian sedalam lebih 150 meter di bahagian sisi lokasi lubang mangsa terperangkap.
SALAH seorang anggota penyelamat menunjukkan tanda bagus sebagai isyarat bahawa lokasi Rayan terperangkap telah ditemui. — Agensi
Rayan sebelum itu dilaporkan terperangkap dalam lubang sedalam 32 meter sejak Selasa lalu berhampiran rumah keluarganya di perkampungan Ighrane di wilayah Chefchaouen.
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus untuk membawa keluar mangsa, namun penggalian semakin rumit susulan risiko berlaku runtuhan dalam lubang berkenaan.
Sejak Selasa, jentera berat termasuk jentolak digunakan bagi membantu kerja-kerja penggalian tetapi jarak dua meter terakhir dari kedudukan mangsa adalah paling kritikal.
INFOGRAFIK proses penggalian terowong di sebelah sisi lubang perigi di mana Rayan terperangkap. — Twitter
Pasukan keselamatan dikatakan terpaksa menggunakan peralatan tangan untuk menggali struktur tanah.
Operasi fasa terakhir pada petang Sabtu memakan masa lebih empat jam dan perlu dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan insiden tanah runtuh yang akan merumitkan keadaan sekali gus menjejaskan seluruh operasi.
Jurucakap kerajaan, Mustapha Baitas sebelum ini memberi jaminan bahawa Rayan akan dikembalikan kepada keluarganya dalam keadaan selamat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram