TINDAKAN ganas seorang wanita yang memukul dan menumbuk seorang wanita tua di Desa Gandasoli, Desa Cikidangbayabang, Kecamatan Mande, Indonesia pada Selasa mengundang kecaman warganet di laman media.
Kejadian itu difahamkan berpunca selepas wanita berkenaan yang juga cucu warga emas itu ditegur atas sikap pengotor dan sering meninggalkan kewajipan sebagai seorang isteri.
Enggan menerima teguran itu, satu pertengkaran hebat berlaku antara kedua-dua individu terbabit yang sekali gus menyebabkan nenek berkenaan meninggalkan rumah tersebut.
Namun, belum sempat dia keluar dari kawasan rumah itu, suspek dilihat meluru dan menyerang neneknya sehingga mengakibatkan wanita tua itu tercampak ke tanah.
Kejadian itu tular di laman Instagram setakat ini telah menerima lebih 17,000 jumlah tontonan.
Susulan kejadian itu, mangsa dibawa ke klinik untuk menerima rawatan lanjut akibat serangan itu.
Salah seorang cucunya yang dikenali sebagai Wiwi menjelaskan, neneknya menegur pelaku cucunya itu, namun ia tidak dapat diterima dengan hati terbuka.
"Nenek sudah tua jadi dia sering merungut dan memberikan nasihat tetapi teguran itu tidak diterima sehingga dia sanggup melakukan keganasan," katanya.
Tambahnya, pihak keluarga memilih untuk tidak memperbesar isu itu memandangkan wanita tersebut mempunyai anak kecil yang masih menyusu.
"Perkara itu diselesaikan atas dasar sifat kekeluargaan kerana dia masih mempunyai anak yang menyusu namun, pelaku telah diceraikan suaminya selepas kejadian itu," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram