KEHADIRAN seekor harimau bintang di tempat awam mengejutkan orang ramai yang turut bimbang dicederakan haiwan buas terbabit.
Menerusi sebuah video tular, harimau tersebut dilihat mengamuk dan melompat di atas pagar sebuah rumah, sebelum memaut sebuah van yang melalui sebuah jalan tidak berturap di Jorhat, dekat timur laut India baru-baru ini.
Pada masa sama, haiwan itu sempat mencabut bahagian luar kenderaan tersebut sebelum melarikan diri ke jalan raya.
Memetik laporan berita antarabangsa, harimau tersebut sudah menyerang sekurang-kurangnya 15 orang termasuk pengawal hutan, seorang ibu serta dua anak perempuannya.
"Sesetengah penduduk terdedah dengan situasi bahaya kerana harimau bintang itu berkeliaran di halaman rumah mereka.
"Ramai yang cedera akibat digigit haiwan itu dan memerlukan rawatan di hospital, tetapi nampaknya mereka sudah keluar dari bahaya sekarang," kata seorang pegawai hutan, Ranjit Konwat kepada pemberita.
Pada masa sama, haiwan itu sudah ditenangkan pada Khamis lalu selepas pencarian selama dua hari.
Ia akan menjalani pemeriksaan lanjut sebelum dilepaskan ke Taman Negara Kaziranga.
Harimau bintang biasanya tidak menyerang manusia tanpa provokasi, jelas pegawai hutan itu.
Meskipun tidak diketahui punca amukan haiwan itu, ia dipercayai melarikan diri dari Santuari Hidupan Liar Gibbon berhampiran untuk mencari makanan.
Serangan spesies kucing besar menjadi luar biasa di India, berikutan populasi yang semakin meningkat, selain pencerobohan kawasan hutan bagi membina kawasan perumahan dan infrastruktur. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram