'Panas' diajak kahwin, lelaki berkali-kali pijak muka kekasih sampai terkulai


  • Benua
  • Rabu, 28 Dis 2022

Tangkap layar video wanita itu dipukul sehingga lunyai oleh kekasihnya di India.

SEORANG lelaki di negeri Madhya Pradesh, India dipercayai membelasah teman wanitanya yang berusia 19 tahun selepas gadis berkenaan meminta untuk mengahwininya lapor NDTV, pada Sabtu.

Lelaki yang dikenali sebagai Pankaj Tripathi, 24, itu ditahan polis susulan video kejadian yang didakwa berlaku Rabu lalu tular di platform media sosial.

Menurut seorang pegawai polis, Naveen Dubey, maklumat awal menunjukkan lelaki dalam video itu ialah penduduk kampung Dhera di kawasan Mauganj, India.

Suspek dan mangsa dikatakan sedang menjalikan hubungan cinta sebelum dibelasah teruk selepas berlaku pertengkaran antara mereka berdua.

Dalam video yang sama, mangsa meminta suspek mengahwininya dan lelaki berkenaan pada mulanya dilihat mempamerkan riak wajah menjengkelkan, sebelum mula menendang serta menampar mukanya berulang kali.

Suspek pada awalnya ditahan di bawah seksyen 151 atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam tetapi dibebaskan kerana mangsa enggan membuat sebarang aduan terhadapnya.

Bagaimanapun, apabila video serangan itu tersebar, kes di bawah Seksyen 323 iaitu mendatangkan kecederaan secara sukarela dan peruntukan lain Kanun Keseksaan India yang berkaitan dikenakan terhadap suspek.

Mangsa juga membuat aduan terhadap orang yang merakam kejadian tersebut dan menyebarkan video itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram