DALAM usaha untuk memperoleh sesuatu, kita digalakkan untuk berusaha dan jangan mudah mengaku kalah. Meskipun berdepan dengan kegagalan, sifat putus asa tidak boleh mendominasi perasaan.
Paling utama sentiasa meletakkan kepercayaan dengan rezeki dan ketentuan ALLAH yang sentiasa akan memberikan ganjaran terbaik buat mereka yang sudah berusaha tanpa kenal erti mengalah.
Selain daripada itu, berserah dan mengharapkan pertolongan ALLAH antara yang perlu dilakukan sebagai seorang mukmin. Salah satunya dengan melakukan solat dhuha.
Amalan solat sunat dhuha sering dijadikan sebagai salah satu amalan ketika berkehendaki sesuatu mahupun mempunyai hajat besar yang ingin diminta daripada ALLAH SWT.
Menyingkap maksud dhuha yang membawa makna pagi hari atau sinar matahari keluar, pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun bagaimanapun memberi penekanan bahawa amal ibadat yang dilakukan perlu ‘berkiblatkan’ ALLAH dan bukannya semata-mata mengejar ganjaran.
Dikongsikan dalam video ceramahnya di YouTube, Asma’ memberitahu bahawa setiap amalan dalam menghendaki perlu dimulakan dengan niat. Sebaiknya perbetulkan niat dalam menginginkan sesuatu hal kerana ALLAH SWT.
“Kita kena ingat dengan niat. Kita kena jelas, bimbang kerana takut ada unsur syirik kepada ALLAH. Orang bukan Islam, kalau mereka bersungguh mereka juga akan berjaya.
“Ini kerana ALLAH itu Maha Pemberi dan ALLAH memberi dalam keadaan dengan murka, dan ada juga keindahan yang ALLAH berikan dengan kasih sayang. Oleh itu sebaik-baiknya lakukan kebaikan kerana ALLAH, tetapi bukan semata-mata untuk ganjaran,” katanya.
Istiqamah
Bercakap tentang solat dhuha, Asma’ menitikberatkan soal hati. Baginya dalam tempoh belajar, hati memainkan peranan penting penting kerana kalau kotor, cahaya tidak akan masuk dalam hati yang bermaksiat.
Disebabkan itu, setiap perkara yang baik perlu dilakukan secara teratur dan istiqamah agar dijadikan amalan setiap hari.
“Apabila perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan, maka tidak terasa berat mahupun berkira-kira untuk melakukannya,” ujarnya.
Begitu juga dengan solat dhuha yang afdal untuk dilakukan sekitar pukul 10 pagi. Sedikit penjelasan ringkas, solat dhuha boleh dilakukan sekitar 15 hingga 20 minit selepas berakhirnya solat Subuh sehingga sekitar sejam sebelum solat Zohor.
Namun, sebaiknya solat dhuha dilakukan sebelum pukul 12 tengah hari yang disifatkan sebagai ‘waktu selamat’.
“Kehebatannya solat dhuha ini apabila dilakukan pada waktu kita sedang sibuk dengan segala urusan dunia. Tidak kira sama ada sedang bekerja, belajar mahupun melakukan kerja-kerja rumah.
“Namun, bayangkan bagaimana gembiranya ALLAH apabila kita tetap berusaha untuk berhenti melakukan segala hal dunia untuk bertemu dengan pemilik dunia.
“Semakin payah amalan dilakukan, semakin banyak pahala. Apabila kita sudah bekerja, tentu sahaja liat untuk melakukannya kerana ‘hayut’ dengan hal-hal dunia,” terang Asma’.
Sekali seumur hidup
Selanjutnya, Asma’ membicarakan tentang tatacara solat dhuha yang mempunyai beberapa bilangan rakaan. Bermula dengan paling sedikit iaitu dua rakaan hingga 12 rakaat.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang solat dhuha sebanyak 12 rakaan, maka ALLAH akan membina baginya sebuah istana daripada emas di syurga.” (HR Tirmidzi & Ibnu Majah, Hadis Dhoif)
Nabi Muhammmad bersabda (daripada Abu Hurairah R.A): “Rasulullah mewasiatkan tentang tiga perkara. Tiga perkara yang dipesan jangan ditinggalkan sehinggalah meninggal dunia. Pertama puasa tiga hari pada setiap hari putih, solat dhuha dan solat witir sebelum tidur.”
Solat sunat dhuha boleh dilakukan sama ada dua rakaat atau empat, enam, lapan, 10 atau 12.
“Lihatlah, bayangkan kita belum mati, belum dihisap, tetapi ALLAH sudah membina istana indah di syurga. Masya-ALLAH besar sungguh nikmat TUHAN kepada hambanya,” kata Asma’.
Pada masa sama, Asma’ menasihatkan sekurang-kurangnya lakukan solat dhuha 12 rakaat sekali seumur hidup.
Selain berkehendakkan sesuatu, solat sunat dhuha juga boleh dilakukan sebagai tanda syukur kepada nikmat dan kunia ALLAH.
“Jangan jadikan solat dhuha itu sebagai sebab untuk kita hendak dekat dengan rezeki ALLAH, tetapi bukan kerana ALLAH. Jika betul kita buat kerana ALLAH, apabila kita sudah dapat apa yang diinginkan, kita tetap melakukannya,” jelas pendakwah itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram