BERLANDASKAN bahan bacaan, pemerhatian dan informasi dalam talian, pelajar UCSI University, Young Hui Qi, mendapat inspirasi untuk membina sebuah pusat komuniti etnik Batek yang dinamakan sebagai Paradox Unity.
Bercerita mengenai rekaannya, pelajar berusia 21 tahun ini mengakui tidak memiliki sebarang pengalaman atau mengetahuan tentang latar belakang masyarakat Orang Asli itu sehingga dibawa ke Taman Negara Kelantan Kuala Koh di Gua Musang.
Mengambil masa beberapa hari untuk meninjau dan memahami gaya hidup penduduk setempat, Hui Qi berusaha ‘menghidupkan’ segala yang diperhati ke dalam rekaannya.
Dengan rekaan itu juga melayakkan untuk membawa pulang trofi Anugerah Emas Kategori Arkitek Anugerah AYDA anjuran Nippon Paint.
Mengulas mengenai perkara itu, Hui Qi tidak menyangka usaha kerasnya selama beberapa bulan menyiapkan rekaan tersebut berhasil.
Selain berjaya membawa pulang trofi, wang tunai sebanyak RM5,000 dan sijil, dia juga mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian dalam mengikuti kursus selama tiga minggu di Harvard Graduate School of Design di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.
Meskipun perlu bersaing dengan beberapa peserta dari negara berbeza antaranya Singapura, Sri Lanka, Taiwan, Thailand dan Turkiye, Hui Qi bagaimanapun optimis rekaannya mampu berpihak kepadanya.
“Selain mendedahkan kepada orang luar, rekaan ini juga dapat membantu memulihara kelestarian masyarakat Batek yang berhadapan ancaman kepupusan.
“Etnik Batek ini dikatakan hampir berkurangan dan itu membuatkan saya berpendapat bahawa mereka perlu mendapat perhatian wajar agar tidak dilupakan terus,” katanya kepada Majoriti.
Pertandingan tersebut dijadualkan berlangsung di sekitar Jun 2023 di Vietnam.
Paradox Unity
Mengulas mengenai rekaannya itu, Hui Qi bukan sahaja ingin membantu masyarakat Orang Asli untuk mendapat perhatian dan mengangkat budaya mereka ke seluruh dunia.
Tidak dinafikan penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman berdepan dengan keciciran daripada pelbagai aspek sama ada pendidikan, teknologi mahupun pandangan.
Tetapi, Hui Qi percaya bahawa gaya hidup dan tradisi yang diturunkan daripada satu generasi ke generasi berikutnya membuatkan mereka tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujan.
“Masyarakat Batek memang mengamalkan gaya hidup semula jadi dan ini adalah satu perkara yang saya hormati. Namun, saya mengharapkan agar mereka turut mendapatkan hak seperti pendidikan atau bantuan untuk memulihara masyarakat mereka yang semakin berkurangan.
“Jadi saya ingin membantu mereka dengan membina sebuah pusat kesedaran alam sekitar umpama ‘jurucakap’ mengenai budaya serta kehidupan mereka kepada orang ramai.
“Berbeza dengan masyarakat bandar yang hidup serba-serbi moden tetapi mereka pula masih memulihara alam sekitar,” jelasnya.
Untuk rekod, Anugerah AYDA atau Asia Young Designer Award mula diperkenalkan pada 2008. Tidak hanya di Malaysia, acara tersebut turut diadakan di 16 negara lain antaranya, Filipina, Sri Lanka, Taiwan, Thailand, India dan Vietnam
Acara ini turut merupakan salah satu usaha Nippon Paint bagi mencungkil bakat muda dalam bidang rekaan seni bina dan hiasan dalaman.
Peserta dari kalangan pelajar universiti awam dan swasta turut berpeluang untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dan barisan pakar dalam bidang masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram