SEORANG penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis bertindak menembak dan mencederakan dua lelaki di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada Selasa lalu.
Menerusi video tular, suspek lelaki itu dilihat memakai jaket dengan tulisan 'polis' dan memakai lencana berbentuk bintang pada rantai di lehernya.
Suspek kemudian dilihat memasuki sebuah kediaman dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis kepada penghuni sebelum menyampaikan waran tangkap.
Sebaik berada di dalam kediaman itu, suspek mengeluarkan pistol sebelum melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai seorang remaja lelaki dan lelaki dewasa.
Dia kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta berjenama Honda.
Susulan itu, pegawai polis yang menerima aduan tentang kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian selepas pukul 3 petang.
Kedua-dua mangsa yang cedera parah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.
Jurucakap polis, John Haines memberitahu pemberita bahawa, serangan itu menyasarkan mangsa berusia muda.
"Dia mengenali individu yang berada di kediaman itu sebelum menembak mereka," katanya.
Menurut polis, lelaki dewasa yang ditembak itu merupakan pekerja di kediaman terbabit yang juga mangsa keadaan.
Sehingga kini, lokasi suspek masih belum dapat dikesan manakala pihak polis masih melakukan operasi memburunya.
Polis menawarkan ganjaran sehingga AS$10,000 (RM44,250), kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat seterusnya membawa kepada penahanan suspek. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram