BERBEKALKAN 69 tong plastik dan 54 keping papan fascia sudah mampu untuk membina sebuah rumah bersaiz 6.503 meter persegi dengan ketinggian 5.8 meter.
Tidak hanya itu, kediaman tersebut turut mampu terapung di atas permukaan air sekali gus terselamat daripada banjir besar di Kampung Terbak Batu 16, Chukai, Terengganu.
Pemiliknya, A. Bakar Che Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pokwe, 67, mendapat idea membina kediaman tersebut diinspirasikan daripada binaanya, reban ayam terapung pada 2019.
Pokwe yang juga bekas pembuat alatan tajam memberitahu, ini merupakan kali pertama rumah terbabit berjaya diapungkan sekali gus menyelamatkannya sekeluarga daripada banjir.
“Rumah ini mengambil masa dalam tiga bulan lebih untuk dibina dan mempunyai lima bilik tidur serta dua bilik air. Manakala rumah ini turut boleh menampung seberat 15 tan metrik,” jelasnya mengenai kediaman yang diberi nama Rumahku, Rakitku.
Siap dibina pada 16 September lalu, rumah tersebut merupakan hasil titik peluh keluarganya yang terdiri daripada tujuh anak serta menantu.
Jelasnya, sebelum rumah itu siap, kawasan tempat tinggalnya sering terjejas dengan banjir sejak tujuh tahun lalu.
“Saya sudah duduk di sini selama tujuh tahun, hanya satu tahun sahaja iaitu pada 2016 rumah kami tidak ditenggelami banjir.
“Sebelum ini saya tidak berpindah ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara). Saya hanya duduk di rumah saya yang lain, tidak jauh dari sini,” ujarnya.
Sementara itu, Pokwe hampir tidak percaya bahawa satu hantaran video mengenai rumah itu dirakam oleh salah seorang anaknya tular dan mendapat perhatian warga maya di aplikasi TikTok.
“Saya sangat gembira kerana ada yang memberi komen positif terhadap video tersebut, saya suka berkongsi kepada orang ramai supaya mereka juga turut mendapat idea untuk menyelamatkan rumah mereka.
“Saya juga sudi untuk memberikan tunjuk ajar bagaimana kaedah pembuatan rumah ini, tetapi saya buat ini lebih kurang sahaja. Jika mereka inginkan yang lebih kukuh, saya boleh ajarkan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram