[VIDEO] Bengang keputusan pengadil, penyokong serbu padang jotos pemain bola kaw-kaw


  • Benua
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Tangkap layar pergaduhan melibatkan sekumpulan penyokong yang enggan menerima keputusan pengadil perlawanan di Kabupaten, Bangka Tengah, Indonesia baru-baru ini.

KEJOHANAN bola sepak kampung akhirnya bertukar satu tragedi apabila puluhan penyokong difahamkan merusuh dan bertindak ganas menyerang pemain serta pengadil perlawanan di Kabupaten, Bangka Tengah, Indonesia pada Rabu.

Pergaduhan itu difahamkan tercetus akibat keputusan berat sebelah pengadil yang tidak diterima oleh pemain dan penyokong kedua-dua pasukan, sekali gus menyaksikan beberapa orang meluru ke tengah padang dan memukul satu sama lain ketika kejadian.

Susulan pergaduhan tersebut, permainan itu terpaksa dihentikan gara-gara situasi yang kian meruncing dan gagal dikawal oleh pengadil berkenaan.

Rakaman tular itu hangat diperkatakan warganet dan menerima lebih 15,000 jumlah tontonan setakat ini.

Namun menurut Ketua Polis Bangka Tengah, AKBP Moch. Risya Mustario, kejadian itu telah diselesaikan dengan baik oleh kedua belah pihak.

"Segalanya sudah diselesaikan dengan baik dan tiada masalah yang perlu dipersoalkan lagi," katanya.

Tambahnya, insiden itu menemui jalan penyelesaian selepas kesemua yang terlibat saling berdamai satu sama lain dan beliau turut mengingatkan pemain lain supaya mengekalkan sikap baik dan menghormati keputusan pengadil.

Menjengah ke ruangan komen, warganet mengecam pergaduhan tersebut.

"Kalau perlawanan bola mesti akan bergaduh, keputusan pengadil tidak akan diterima dengan baik oleh penyokong jadi sampai bila semua ini akan berterusan," kata sudar0269.

"Baru kejohanan bola dalam kampung sudah bergaduh macam berada di Piala Dunia, sampai bila-bila pun bola sepak Indonesia tidak akan maju kalau sikap seperti ini," jelas syaifudingnang1977.

"Memalukan sahaja, kejohanan peringkat bawahan tetapi penyokong hilang hormat dan sanggup pukul pengadil," tambah madebalidriver. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram