EMPAT suspek lelaki dilaporkan terlibat dalam satu kejadian samun bersenjata di Bogor, Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini.
Namun, rompakan itu menemui kegagalan selepas mangsa berjaya memperdayakan suspek dengan memberitahu bahawa terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di rumah tersebut.
Ketika kejadian, keempat-empat suspek memecah masuk ke rumah terbabit melalui pintu yang tidak berkunci dan mula memunggah untuk mencari barang berharga.
Tersentak dengan insiden itu, pemilik rumah menjerit ketakutan selepas diacu dengan senjata tajam oleh perompak berkenaan.
Dikongsikan di laman Instagram, rakaman kejadian menerima lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.
Namun, rompakan itu gagal dilaksanakan oleh perompak tersebut selepas pemilik memperdayakan mereka kononnya CCTV dipasang di ruang tamu bersambung dengan balai polis.
Susulan itu, mereka difahamkan gagal melarikan barangan berharga dari rumah terbabit akibat penipuan tersebut.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan kerisauan berhubung rompakan bersenjata itu.
"Walaupun berjaya menipu perompak, tetapi ia masih berbahaya kerana mereka menggunakan senjata tajam semasa merompak," kata mihsanhrudin.
"Berani sungguh mangsa menipu, dalam situasi getir itu masih boleh berfikir dengan waras, kalau saya pasti sudah menyerah," jelas bimo.ariyanto.
"Perompak sekarang sudah semakin berani, tidak kira siang ataupun malam mereka akan merompak sesuka hati dan menggunakan senjata tajam," tambah yudie.asmadi.
Belum ada sebarang laporan berkaitan tangkapan perompak itu setakat ini dan pihak polis masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram