DUA pelajar sekolah dikejarkan ke hospital selepas pengsan dan diserang sawan akibat didenda melakukan senaman tekan tubi dan ketuk ketampi berpuluh kali oleh guru di Kabupaten Jombang, Jawa Timur Indonesia baru-baru ini.
Difahamkan, kedua pelajar lelaki dan perempuan itu terlebih dahulu ditangkap oleh pengawal keselamatan kerana kesalahan ponteng kelas.
Susulan kesalahan tersebut, pelajar terbabit dijatuhi hukuman denda tekan tubi dan ketuk ketampi sebanyak 50 kali.
Namun, situasi bertambah keruh apabila kedua-duanya rebah ketika melakukan senaman fizikal tersebut dan mereka segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa yang terkena serangan sawan dirawat di hospital dan tular satu video di laman media memaparkan mereka dikerumuni beberapa lagi pelajar lain ketika menerima rawatan.
Pengetua sekolah, Jombang Zainal Fatoni mengesahkan kejadian itu dan telah menjelaskan bahawa pelajar terbabit dibawa ke hospital selepas keadaan mereka tidak beransur pulih ketika di pusat kesihatan awam.
Bagaimanapun, Jombang Zainal menafikan dakwaan kes dera yang dikatakan menjadi punca pelajar itu pengsan.
“Menurut doktor, kedua-dua mereka mengalami serangan sawan akibat gagal mengawal emosi.
“Dua pelajar berkenaan dimasukkan ke hospital kerana mengalami kekejangan yang teruk, bukan kerana menjalani hukuman dera seperti yang diperkatakan di laman media,” katanya.
Selain itu, beliau turut menambah bahawa hukuman keras terhadap pelajar adalah dilarang sama sekali di sekolahnya.
Namun difahamkan, pelajar berkenaan sudah semakin beransur pulih dan telah mula mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran seperti biasa di sekolah keesokan harinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram