[VIDEO] Aksi pelajar samseng libas sabit sambil kejar mangsa disiasat polis


  • Benua
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Tangkap layar menunjukkan pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar samseng.

SEKUMPULAN pelajar sekolah dilaporkan terlibat dalam satu pergaduhan bersenjata selepas dilihat saling berkejaran menggunakan sabit di Jababeka, Cikarang Tengah, Kabupaten Bekasi, Indonesia.

Dalam kejadian tersebut yang sempat dirakamkan seorang individu, sekumpulan lelaki yang berpakaian sekolah melakukan serangan terhadap satu lagi kumpulan yang sedang melepak di atas motor.

Akibat serangan itu, kumpulan yang diserang bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana khuatir dilibas sabit yang dibawa kumpulan penyerang.

Malah kelihatan beberapa ahli kumpulan penyerang mengejar mangsa dengan menggunakan motosikal.

Dikongsikan di laman Instagram, rakaman itu menerima lebih 8,000 jumlah tontonan setakat ini.

Ketua Polis Cikarang, AKP Awang Parikesit mengesahkan kejadian tersebut dan tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan berlaku.

"Ya, buat masa ini belum ada maklumat mengenai kematian," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Metro Bekasi, AKP Hotma Sitompul memaklumkan anggota yang ditugaskan di lokasi kejadian sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Seorang pelajar mengalami kecederaan di tangan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

"Kami sedang menjalankan siasatan dan seorang mangsa mengalami luka pendarahan di tangan dan sudah dirawat di pusat perubatan," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram