[VIDEO] Tak puas hati lamaran ditolak, tauke kedai teh hantar lebih 30 samseng culik pakar bedah


  • Benua
  • Sabtu, 10 Dis 2022

Tangkap layar video memaparkan, serangan dilakukan oleh sekumpulan samseng di sebuah rumah bagi menculik seorang wanita.

SEKURANG-KURANGNYA 30 lelaki membuat kecoh dan menyerbu masuk sebuah rumah bagi menculik seorang wanita.

Menerusi sebuah video tular, samseng itu dilihat merosakkan rumah, memecahkan cermin kereta, malah mengheret keluar seorang lelaki dari kediaman tersebut sebelum membelasahnya dengan kayu.

Pada masa sama, mereka berjaya membawa wanita yang dikenali sebagai Vaishali.

Vaishali, 24, merupakan graduan Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dan kini bekerja sebagai pakar bedah diculik dari kediamannya di kampung Adibatla, di daerah Ranga Reddy, Hyderabad dekat Telangana, India.

Bagaimanapun, pihak polis berjaya menyelamatkan wanita terbabit selepas sejam diculik, manakala 18 suspek sudah pun ditahan.

Sementara, ibu bapa mangsa mendakwa, kira-kira 100 pemuda menceroboh masuk ke dalam kediaman mereka.

Keluarga itu mendakwa, suspek utama dikenali sebagai Naveen Reddy memaksa Vaishali untuk mengahwininya.

Naveen, yang juga pemilik kedai teh melakukan penculikan itu bersama pekerja-pekerjanya.

Naveen yang menganggap mangsa sebagai isterinya mendakwa, Vaishali enggan tinggal bersamanya dan ia merupakan antara alasan dia melakukan penculikan tersebut.

Pada masa sama, mangsa dilaporkan menjalinkan hubungan bersama Naveen, namun menolak lamaran perkahwinan lelaki itu.

Bapa mangsa, Damodar Reddy berkata, Naveen dan Vaishali berkenalan semasa bermain badminton dan berkawan mesra.

"Dia (Naveen) kemudian melamar Vaishali melalui beberapa orang tengah namun ditolak. Ini menjadikan dia tidak berpuas hati," katanya.

Keluarga mangsa juga mendakwa, mereka telah beberapa kali membuat laporan polis berhubung gangguan dilakukan Naveen. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram