SELEPAS 16 tahun menabur bakti di Kedah, pemain legenda Lang Merah, Baddrol Bakhtiar memilih untuk meninggalkan pasukan itu untuk bersama Sabah FC pada awal musim ini.
Bahkan, Baddrol yang terkenal dengan jolokan Kapten Marvel mengesahkan akan kekal di Sabah FC untuk semusim lagi tahun depan.
Legasi yang ditinggalkan pemain prolifik Kedah di skuad Hijau Kuning itu cukup sukar ditandingi dan sangat besar untuk diisi oleh mana-mana pemain Sang Kenari.
Bukan sahaja dari kaca mata peminat, malah pihak pengurusan Kedah turut mengakui jersi nombor 7 yang pernah menjadi milik Baddrol masih eksklusif memandangkan tiada pemain 'berani' untuk menyarung jersi berkenaan.
Jersi nombor 7 KDA FC itu turut dianggap 'keramat' kerana reputasi Baddrol selaku kapten Kedah yang banyak mencurahkan kejayaan buat skuad Hijau Kuning sejak memakainya bermula musim 2006 lagi.
Bagi Baddrol, dia menganggap ia satu bentuk penghargaan buat dirinya yang membantu skuad Hijau Kuning meraih dua trofi Liga Super dan Liga Perdana, empat Piala Malaysia, tiga Piala FA serta satu Piala Sumbangsih.
"Mengenai jersi tu, saya berasakan seolah-olah dihargai dihormati dan berasa terharu kerana perjuangan serta pengorbanan selama di Kedah tidak disia-siakan," katanya kepada Majoriti.
Tidak mendabik dada atas kredit yang diberikan, Baddrol meletakkan harapan untuk melihat Kedah kembali 'menyengat' menjadi pasukan yang kuat untuk bersaing dalam liga.
Dia turut menitipkan pesanan buat pemain Sang Kenari agar berpegang kepada prinsip resmi padi yang bermaksud semakin 'terbang tinggi', semakin merendah diri.
"Harapan saya ingin melihat Kedah seperti dulu dengan prinsip resmi padi...bermainlah untuk family dan fans setia Kedah dan yang paling penting keharmonian dalam team perlu dibentuk kembali," katanya.
Berkelana di Negeri Bawah Bayu sekurang-kurangnya untuk semusim lagi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan, Baddrol tentunya menjadi sandaran penyokong untuk terus membantu Sabah mencipta kejuaraan.
Baddrol menjadi sandaran penyokong untuk terus membantu Sabah mencipta kejuaraan. — Facebook
Bahkan khidmat jeneral padang itu ditagih untuk yang membawa The Rhinos mendepani cabaran dalam saingan Piala AFC selepas Sabah berjaya menyambar slot kedua ke perlawanan antarabangsa itu.
"Untuk Sabah FC, saya akan teruskan impian saya membawa Sabah FC sejauh yang mungkin, saya mahu mencipta sejarah lagi di Sabah FC," kata Baddrol.
Sepanjang tempoh beraksi di Kedah, Baddrol melakukan 355 penampilan dan menjaringkan 116 gol daripada posisi pemain tengah.
Pemain berusia 34 tahun itu juga pernah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Sedekad sejak 2011 hingga 2020.
Bersama Sabah FC, kapten pasukan itu berjaya mencetak lapan gol peribadi dan empat bantuan gol menerusi 25 penampilan sepanjang musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram