SIAPA sangka juara lima kali Piala Dunia, Brazil tewas di tangan pasukan yang berada pada kedudukan ke-12 dunia, Croatia menerusi sepakan penentuan sepakan penalti dengan keputusan 2-4.
Selepas seri 1-1 dalam tempoh 20 minit permainan, naib juara 2018 itu memberikan segala kudrat mereka pada sepakan penalti dan sekali gus berjaya melayakkan mereka mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia 2022 Qatar.
Kekalahan pasukan pilihan itu sememangnya mengejutkan penyokong bola sepak yang rata-ratanya mempertaruhkan Brazil akan menang mudah di tangan skuad bimbingan Zlatco Dalic.
Selain kecemerlangan penjaga gol Crotia, Dominik Livakovic yang berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya Brazil dan membantu pasukannya menyingkirkan skuad dari Amerika Selatan itu, terdapat satu faktor dikatakan menjadi penyumbang kekalahan Selecao.
Ramai warganet berpendapat insiden seorang pegawai akhbar Brazil melemparkan seekor kucing ke lantai ketika sidang akhbar berlangsung telah menjadi badi buat pasukan berkenaan.
Ketika kejadian itu, pegawai berkenaan berada bersebelahan pemain sayap, Vinicius Jr yang sedang menjawab soalan yang diajukan para wartawan.
Vinicius pada mula hanya ketawa ketika melihat seekor kucing melompat ke meja namun, pegawai media berkenaan bertindak di luar kawalan.
Pegawai tersebut mengejutkan ramai pihak apabila mengambil keputusan mengangkat kucing itu secara kasar dan melemparkannya ke lantai dari meja sidang media tersebut.
Sejurus sahaja kekalahan Brazil itu, ramai penyokong mula membangkitkan isu berkenaan dan mereka beranggapan ia adalah badi buat skuad Selecao kerana menganiyai kucing sebelum ini.
"Brazil terlalu menganggap Croatia lawan yang mudah dan ia adalah karma daripada kucing berkenaan," komen peminat bola sepak, Ryan Bailey.
"Brazil kalah sebab pegawai pasukan itu lempar kucing semasa sidang media pra-perlawanan," kata penyokong bola sepak, Barstool Sports.
Dalam pada itu, bagi bintang Brazil, Neymar Jr menyatakan bahawa dia tidak pasti sama ada akan bermain semula untuk pasukan kebangsaan selepas kekalahan kepada Croatia.
"Sejujurnya, saya tidak tahu. Saya rasa untuk bercakap sekarang adalah bukan masa yang sesuai. Sekarang ini saya tidak dapat berfikir secara waras.
"Untuk mengatakan bahawa ini adalah penghujungnya, saya risau ia keputusan yang terburu-buru tetapi saya juga tidak ingin menjamim apa-apa.
"Saya mahu mengambil masa ini untuk memikirkannya, fikirkan apa yang saya mahukan untuk diri saya sendiri. Saya tidak akan menutup pintu untuk bermain dengan Brazil, dan saya juga tidak mengatakan 100 peratus bahawa saya akan kembali, " kata pemain Paris Saint-Germain FC itu kepada pemberita.
Bagi pemain senior Brazil, Dani Alves Piala Dunia 2022 merupakan tahun terakhirnya untuk bermain bersama skuad kebangsaan namun dia masih berhasrat untuk terus bermain di peringkat kelab. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram