
SEORANG lelaki berusia 82 tahun melambung ke udara selepas dia ditanduk seekor lembu jantan semasa perayaan Bou en Corda yang kontroversi di Sepanyol, lapor Daily Star pada Rabu.
Insiden tersebut berlaku di Ontinyent, wilayah Valencia pada Ahad lalu selepas mangsa ditanduk haiwan berkenaan kerana gagal berlari lebih cepat daripada lembu jantan di lokasi kejadian.
Jeritan daripada orang ramai boleh didengari apabila badan lelaki itu terjatuh di kaki lima dan mengeluarkan satu bunyi dentuman.
Lembu jantan itu terus menanduknya dan berhenti apabila ia ditarik dengan tali yang diikat pada lehernya manakala lelaki berkenaan dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
Lelaki tersebut mengalami kecederaan pada bahagian kepalanya dan lobus oksipital kiri serta luka di tangan kirinya.
Media tempatan menyatakan mangsa mengalami kecederaan yang sangat kritikal.
Seorang penyelidik, Rosa Fernandez mendapati bahawa pada 2021, sebanyak 34.7 peratus penduduk Sepanyol menyokong perayaan yang melibatkan larian lembu jantan itu dan mahu mengekalkannya.
Namun, sebanyak 44.1 peratus lagi menentangnya dan mahu ia diharamkan menerusi pelaksanaan undang-undang dan 21.2 peratus lagi mahu ia terus diharamkan.
Terdapat sedikit perbezaan dengan acara larian lembu yang diadakan di Pamplona yang terkenal di negara tersebut apabila para pesertanya diminta menjerat haiwan itu dengan tali dan membawa binatang berkenaan ke rumah mereka. — Agensi