[VIDEO] Gadis 18 tahun berlumuran darah ditahan selepas buang bayi di terminal bas


  • Benua
  • Rabu, 07 Dis 2022

Tangkap layar rakaman CCTV yang memaparkan seorang gadis sedang membuang bayinya di tempah pembuangan sampah di sebuah terminal bas di Jakarta, Indonesia.

SEORANG gadis berusia 18 tahun hanya dinamakan sebagai DL tergamak membuang bayinya di tempat pembuangan sampah di Terminal Pulo Genang, Jakarta Timur, Indonesia sebaik selepas melahirkan bayi tersebut di bilik air terminal tersebut.

Perkara itu dikesan oleh petugas terminal berkenaan yang mendengar tangisan bayi dari arah tempat sampah tersebut pada petang Isnin lalu.

Susulan itu, petugas terminal segera melaporkan insiden tersebut ke pihak polis dan siasatan menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kelibat seorang individu meninggalkan bayi di tong sampah berkenaan sebelum berlari meninggalkan kawasan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis daerah Cakung, Syarifah Chaira mendedahkan bahawa bayi lelaki yang ditemui itu dipercayai baru sahaja dilahirkan kerana masih bertali pusat.

"Melalui rakaman CCTV, perempuan tersebut terus menaiki bas PO SHANTIKA dengan nombor pendaftaran K7388OB sebelum bas itu berangkat," katanya dalam keterangan pada Rabu.

Setelah mendapati bahawa destinasi akhir bas tersebut adalah stesen Semarang, polis terus bertindak mengejar bas tersebut bagi menahan pelaku.

Polis berjaya menghentikan bas tersebut di jejambat Cikarang, Cikarang Selatan, Kabupaten Bekasi, Indonesia sebelum memeriksa satu per satu penumpang dalam bas tersebut.

"Polis menahan pelaku bernama DL yang memakai pakaian jaket merah yang masih dalam keadaan berlumuran darah. DL mengakui melahirkan bayinya di tandas terminal bas sebelum membuangnya," jelasnya lagi.

Pelaku kini di berada dalam tahanan polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram