[VIDEO] Avanza rempuh 2 motosikal, anggota tentera terseret 5 meter maut di lokasi nahas


Tangkap layar memaparkan keadaan kereta dan motor yang terlibat serta anggota tentera yang maut dalam kemalangan tersebut.

SEORANG anggota tentera maut manakala seorang lagi mangsa cedera parah dalam kemalangan yang membabitkan tiga kenderaan berlaku di Jakarta Timur, Indonesia.

Kejadian yang dirakamkan oleh saksi dikongsikan di laman Instagram Merekam Jakarta mendapat perhatian dan ditonton lebih daripada 4,000 warga maya.

Kemalangan tersebut berlaku pada pukul 10.30 pagi Isnin.

Berdasarkan rakaman tersebut, kelihatan keadaan kereta Toyota Avanza yang kemik pada bonet depan dan orang ramai datang membantu mangsa kejadian.

Saksi kejadian, Toryanto menjelaskan tiga motosikal sedang berhenti di lampu isyarat sebelum sebuah kereta Avanza hitam yang dipandu laju merempuh dua motosikal disebelahnya.

Rempuhan yang berlaku menyebabkan mangsa kejadian terseret sehingga lima meter dari lokasi kejadian.

Mangsa segera dibawa ke hospital berdekatan dan menurut laporan Berita Satu, mangsa mengalami luka parah di bahagian kaki dan pinggang manakala seorang lagi mangsa yang merupakan anggota tentera dikatakan maut di tempat kejadian.

Kemalangan yang berlaku mendapat pelbagai respon warganet dan rata-rata netizen bersimpati dengan mangsa kejadian.

"Kadang-kadang kita dah berhati-hati atas jalan raya tapi masih terlibat dalam kemalangan," luah Faradiya.

"Semoga keluarga mangsa bertabah dengan ujian yang berlaku," komen pengguna Instagram, Didie.

"Sekarang orang ramai memandu laju tanpa sedar sehingga mengorbankan nyawa orang lain, mereka patut dihukum agar kemalangan seperti ini tidak berlaku," kata Zulfikri.

Setakat ini, pemandu kereta Avanza ditahan oleh pihak polis dan siasatan lanjut masih dijalankan.— Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



Lebih Pilihan