TUJUH maut termasuk pemandu bas dan baki 34 yang lain mengalami luka-luka dalam tragedi bas terjunam ke dalam gaung yang terjadi di Jalan Raya Sarangan, Jawa Timur, Indonesia, pada Ahad.
Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari dan mendapat lebih 2,300 tontonan di laman Telegram Liputan 7.
Berdasarkan video yang dikongsikan, kelihatan pengguna jalan raya membantu dan cuba mencari mangsa di sekitar lokasi kejadian. Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan jalan raya.
Menurut Kompas.com, bas pelancongan tersebut membawa seramai 40 penumpang yang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia.
Proses menyelamat mengambil masa agak lama kerana keadaan pemandu bas yang tersepit dan mangsa dilaporkan antara yang maut dalam kejadian itu.
Mangsa kejadian segera dibawa ke hopital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh Solopos.com, bas tersebut dipandu laju sebelum melanggar pembahagi jalan hingga terjatuh ke dalam gaung.
Kejadian malang itu disyaki berlaku kerana kegagalan brek berfungsi dan menyebabkannya terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter menurut Ketua Unit Trafik, AKP Trifona Situmorang.
Sehingga kini, siasatan masih dijalankan bagi mengumpulkan maklumat mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram