[VIDEO] Bukan insiden tapi dibunuh, wanita maut diseret kereta 90 meter sampai lunyai berdarah


  • Benua
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Tangkap layar seorang wanita diseret sebuah kenderaan sejauh 90 meter.

SEORANG wanita maut selepas dilanggar dan diseret sejauh 90 meter oleh seorang pemandu lelaki di jalan raya dekat Universiti Dhaka (DU), Bangladesh pada Jumaat.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan Dhaka, Md Shahidullah berkata, kes tersebut bukan satu kemalangan, sebaliknya beliau mengesahkan bahawa kejadian itu merupakan kes pembunuhan yang disengajakan.

"Mangsa, Rubina Akhter, dilanggar pemandu terbabit dan tersepit di bawah kenderaan itu.

"Suspek yang merupakan bekas tenaga pengajar di fakulti DU, terus mengheret mangsa sehingga ke kawasan Neelkhet di Dhaka dan abang ipar mangsa yang menunggang motosikal turut tercedera dalam kejadian tersebut.

"Orang ramai cuba menghentikan kereta berkenaan sebaik menyedari kewujudan mayat dan kesan lumuran darah di sepanjang jalan raya, namun pemandu terbabit masih berdegil dan meneruskan perjalanan," katanya.

Ketika disoal sama ada pemandu itu mabuk ataupun tidak, pihak polis tidak dapat mengesahkannya kerana suspek telah dibawa ke hospital akibat cedera parah dipukul orang awam.

"Tindakan undang-undang akan diambil selepas siasatan, tanpa mengira sama ada bekas guru itu berada dalam keadaan normal ataupun tidak," tambahnya.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Kolej Perubatan Dhaka (DMCH) kira-kira pukul 4:45 petang.

Ketika kejadian, salah seorang saksi berkata, mangsa tersepit di bawah kenderaan tersebut dan kesan darah di sepanjang jalan menyebabkan orang ramai mula sedar akan kejadian terbabit.

Setibanya di Neelkhet, kereta itu ditahan dan suspek dipukul orang ramai manakala mangsa pula berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Berdasarkan rekod, suspek yang dikenali sebagai Azhar, dibuang daripada universiti berkenaan pada 2018 kerana tidak hadir ke kelas bagi tempoh yang lama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram