Salji Gunung Kinabalu ada kaitan fenomena ekuinoks


  • Tular
  • Isnin, 28 Feb 2022

FENOMENA salji yang hampir sama dikatakan pernah berlaku di puncak Kinabalu pada 1975 dan terakhir pada 1993. — Gambar hiasan

PENDAKI dan malim Gunung Kinabalu, Sabah pada pagi Isnin dikejutkan dengan fenomena 'salji' apabila ketulan halus putih dipercayai salji turun ketika berada di kawasan Sayat-Sayat berdekatan puncak gunung tertinggi di Malaysia itu.

Dalam kejadian jam 7.18 pagi itu, cuaca difahamkan sangat sejuk dan secara tiba-tiba kelihatan ketulan putih menyamai salji, dilaporkan jatuh berhampiran puncak gunung berkenaan selama kira-kira dua minit.

Fenomena itu sempat dirakam pelatih laluan Via Ferrata, Hajiri Sulumin, 47, ketika sedang menunggu pendaki turun dari puncak Gunung Kinabalu.

RAKAMAN video tular fenomena salji di Gunung Kinabalu.

Pencerap bebas, MatGeo mendakwa, sebelum perubahan cuaca mendadak dunia bermula antara tahun 1978 hingga 1980, justeru memang salji selalu 'berlonggok' di puncak Kinabalu pada waktu begini saban tahun.

Menurutnya, ini bermakna suhu maksimum puncaknya mencecah sifar darjah Celsius (0°C) walaupun pada waktu tengah hari.

"Boleh saja terjadi dengan ketinggiannya 4,101 meter pada waktu itu. Pada bulan begini angin dingin dari utara pula sedang bertiup.

"Hakikatnya, ketika ini di paras laut pun suhu paras beku atmosfera berada 4,700 hingga 5,100 meter atas kepala kita sepanjang masa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

TANGKAP layar hantaran MatGeo berhubung fenomena salji di Gunung Kinabalu pada Isnin. — Facebook

MatGeo berkata, fenomena terbaharu yang melanda Gunung Kinabalu itu mungkin berkaitan tekanan rendah yang berleluasa di bumi di sebelah selatan.

"(Tekanan) itu cuba naik ke utara mengekori pergerakan matahari menuju Solstis Utara, had matahari terbit terbenam pada hari pertama minggu ketiga Jun," katanya.

Tambahnya, fenomena itu juga mungkin berkaitan penurunan suhu global secara tiba-tiba apabila tekanan rendah di selatan tersebut mula menjadi-jadi selepas letusan gunung berapi Tonga di Kepulauan Tonga, Lautan Pasifik pada 15 Januari lalu.

"Apakah debunya yang berkilometer padu meletup bagai nak rak tersangkut pada paras lebih tinggi, menjadi lapis yang tak terkaji, menyerap haba matahari sehingga bumi menyejuk dan tekanan rendah menjadi-jadi? Who knows? Why not?.

"Ketika (debu tersebut) melintasi Khatulistiwa ia disebut ekuinoks," katanya.

Untuk rekod, ekuinoks merupakan satu fenomena astronomi apabila kedudukan matahari sejajar dengan Garisan Khatulistiwa. Ia menjadikan bumi dan matahari berada pada jarak paling dekat dalam sistem solar.

Dalam gerakan ke langit utara ini, MatGeo berkata, matahari akan melalui ekuinoks yang terletak pada hari pertama minggu ketiga Mac.

"Ekuinoks seterusnya ialah hari pertama minggu ketiga September ketika matahari menuju Solstis Selatan pula yang akan dicapai pada hari pertama minggu ketiga Disember," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram