Letusan gunung berapi di Tonga cetus tsunami di Jepun


  • Benua
  • Ahad, 16 Jan 2022

JEPUN mengeluarkan amaran tsunami setinggi 3 meter mungkin melanda beberapa pulau di barat daya negara itu.— Agensi

PANTAI Pasifik Jepun dilanda tsunami pada Sabtu akibat letusan gunung berapi dasar laut di negara Tonga.

Tsunami setinggi 1.2 meter direkodkan di bandar Amami, manakala tsunami 1.1 meter di Wilayah Iwate.

Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami setinggi 3 meter mungkin melanda beberapa pulau di barat daya Jepun.

Meskipun tiada laporan kecederaan atau kerosakan besar, agensi itu berkata, tsunami kecil kurang daripada satu meter dikesan merentasi kawasan pantai Pasifik negara itu.

Pihak berkuasa di kepulauan barat daya wilayah Kagoshima dan kawasan pantai timur laut menggesa penduduk setempat berpindah daripada kawasan berkenaan.

Pusat Amaran Tsunami Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat turut mengeluarkan amaran tsunami bagi pantai barat AS dan Kanada selepas letusan gunung berapi melanda Tonga.

Gunung berapi itu, yang terletak 65 kilometer di utara ibu negara Tonga Nuku'alofa, mula memuntahkan abu, debu dan asap pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebooknya pada Ahad memaklumkan, kejadian itu tidak akan menyebabkan negara ini dilanda tsunami.

"Berdasarkan kepada pemantauan berterusan, semakan bacaan tolok pasang surut serta boya antarabangsa dan tempatan, serta maklumat laman sesawang Regional Tsunami Service Provider (RTSP), mendapati tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.

"Jabatan Metereologi akan sentiasa memantau secara berterusan perkembangan kejadian ini dan akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini yang berkaitan dari masa ke masa," ujar kenyataan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jepun, tsunami, Tonga, gunung berapi