[VIDEO] Gara-gara tak tunai janji, ahli Parlimen bertumbuk dalam Dewan Rakyat


  • Benua
  • Ahad, 04 Dis 2022

Tangkap layar video pergaduhan antara ahli politik parti pemerintah dan pembangkang.

SATU insiden pergaduhan dilaporkan tercetus di sidang Parlimen Senegal pada Khamis lalu selepas seorang ahli parlimen pembangkang memukul kepala ahli Parlimen wanita lain kerana didakwa bertindak tidak sopan, lapor Daily Mail.

Insiden kejadian pergaduhan tersebut berjaya dirakam dan disiarkan di televisyen secara siaran langsung.

Pergaduhan itu juga dikatakan berlaku kerana persengketaan antara ahli politik parti pemerintah dan pembangkang.

Semasa sidang pembentangan bajet, ahli parlimen pembangkang Massata Samb menghampiri Amy Ndiaye Gniby wakil rakyat dari gabungan pemerintah Benno Bokk Yakaar (BBY) sebelum tercetusnya pergaduhan terbabit.

Sesi persidangan itu akhirnya digantung kerana suasana yang huru hara akibat pergaduhan, penghinaan dan tuduhan itu.

Ketegangan semakin meruncing antara ahli politik pemerintah dan pembangkang sejak pilihan raya pada Julai lalu.

Keputusan menunjukkan parti pemerintah kehilangan majoriti selesa selepas Presiden Macky memohon untuk bertanding penggal ketiganya pada 2024.

Presiden Macky, 60, enggan menyatakan dengan jelas sama ada beliau bercadang untuk bertanding bagi penggal ketiga nanti.

Jika beliau bertanding maka tindakan itu dikatakan oleh pembangkang sebagai melanggar terma had penggal dan janji terdahulu.

Penyokong Macky berhujah bahawa reformasi Perlembagaan menetapkan semula tempoh itu dan membolehkan beliau bertanding semula.

Wakil rakyat Massata Samb pada Khamis berucap di Parlimen mengenai komen yang dibuat Amy Ndiaye Gniby pada hujung minggu lalu yang mana dia berkata, akan menentang Presiden Macky bagi penggal ketiganya.

Amy Ndiaye Gniby kemudiannya mengejek komennya dan menyatakan bahawa dia tidak peduli.

Massata yang berang menghentikan ucapannya dan bergegas menghampiri Amy Ndiaye Gniby.

Rakaman pergaduhan itu dikongsi secara meluas di media sosial dan mencetuskan perdebatan mengenai keganasan terhadap wanita. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram