SEORANG wanita mengalami kecederaan parah di kepala selepas dilanggar tayar lori sesat di depan sebuah terminal bas di Santarem, Portugal baru-baru ini.
Kejadian berlaku pada Sabtu lalu melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Ana Claudia Menezes de Oliveira, 43.
Kejadian tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan menerusi rakaman itu, tayar itu dipercayai tercabut daripada sebuah lori yang bergerak.
Tayar itu kemudian bergolek dari seberang jalan terus ke depan terminal bas di mana mangsa bersama seorang lagi penunggang motosikal.
Namun, ketika kedua-dua terlihat tayar itu menuju ke arah mereka, penunggang motosikal sempat mengelak manakala mangsa gagal menyelamatkan diri sebelum dihentam tayar lori itu.
Hentaman kuat tayar lori itu menyebabkan mangsa terjatuh dan tidak bergerak.
Sementara itu, pegawai perubatan, Adelia Gomez yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan bahawa mangsa mengalami kecederaan di kepala.
"Mangsa mengalami gegaran kuat di kepala akibat hentaman itu hingga menyebabkan dia tidak sedarkan diri," katanya.
Tambahnya, mangsa telah dibawa ke Hospital Alberto Telentino Sotelo untuk mendapatkan rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang terselamat dalam kejadian itu berkata, pemandu lori berkenaan tidak berhenti untuk memberikan pertolongan.
"Tetapi, pemilik lori berkenaan ada datang ke lokasi kejadian dan memaklumkan yang dia akan menanggung kos perubatan dan kerugian yang dialami mangsa," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram