Berang jadi mangsa lelaki gila seks, pelajar sekolah terajang pemandu bas


  • Benua
  • Ahad, 13 Nov 2022

Tangkap layar video seorang pelajar sekolah menendang pemandu bas yang didakwa melakukan gangguan seksual. — Agensi

BERANG selepas menjadi mangsa gangguan seksual pemandu bas, seorang pelajar sekolah menengah wanita mengamuk dengan menerajang suspek di tepi jalan.

Kejadian yang berlaku di Tasikmalaya, Indonesia itu juga tular di media sosial sejak Sabtu selepas dirakam beberapa penduduk setempat.

Kekecohan mula berlaku selepas bas tersebut berhenti di tepi jalan sebelum pelajar itu memaki hamun pemandu yang berusia 50-an itu.

Selepas itu, seorang penunggang motosikal yang berada di kawasan berhampiran datang untuk menenangkan keadaan dan bertanya kepada mangsa apa punca sebenar dia mengamuk.

"Dia sentuh saya," kata gadis itu kepada penunggang motosikal dengan suara yang lantang.

Mangsa yang berang dengan keadaan yang berlaku bertindak menerajang pemandu tersebut sebelum ditenangkan orang ramai.

Menerusi ruangan komen, warganet memuji tindakan berani pelajar itu terhadap suspek yang melakukan gangguan seksual.

Malah, ramai yang berharap supaya golongan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual khususnya di tempat awam supaya mengambil tindakan segera yang boleh menarik tumpuan orang ramai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram